30.06.26 Yang Di-Pertua MMN menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Ketua-Ketua Perwakilan Asing ke NBD

Bandar Seri Begawan, Selasa, 30 Jun 2026 – Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara hari ini telah menerima kunjungan hormat perpisahan secara berasingan daripada Puan Yang Terutama Sarah McGrath, Duta Besar Ireland Yang Tidak Menetap ke Negara Brunei Darussalam dan Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R. Tirol-Ignacio, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam di Bangunan Dewan Majlis pada 30 Jun 2026.

Kunjungan hormat perpisahan bersama Puan Yang Terutama Sarah McGrath, Duta Besar Ireland Yang Tidak Menetap ke Negara Brunei Darussalam telah memberi tumpuan kepada hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Ireland, khususnya dalam bidang pendidikan dan ekonomi. Puan Yang Terutama turut menyatakan hasrat untuk mengekalkan kerjasama rapat melalui kerjasama antara Majlis Meysuarat Negara dan Parliament of Ireland. Perbincangan juga menyentuh mengenai perkembangan kerjasama serantau dan antarabangsa seperti penglibatan bersama dalam mesyuarat dan persidangan Inter-parlimentary Union (IPU).

Sementara itu, kunjungan hormat perpisahan juga diadakan bersama Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R. Tirol-Ignacio, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam. Perbincangan telah mengimbas kembali kerjasama rapat antara dua negara dan perancangan untuk meningkatkan dialog dan perkongsian amalan terbaik antara Majlis Mesyuarat Negara dan Congress of the Philippines. Kedua-dua pihak juga turut menzahirkan komitmen untuk terus mengeratkan hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Filipina.

Hadir bersama semasa kunjungan-kunjungan hormat tersebut ialah Yang Mulia Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah, Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara.

BERITA TERKINI