Jumaat, 28 November 2025, Beijing, Republik Rakyat China – Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang terdiri oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee, Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin, dan Yang Berhormat Awang Mohamad Ali bin Tanjong, telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Republik Rakyat China dari 24 hingga 28 November 2025.
Tujuan utama lawatan yang di atas undangan Kerajaan Republik Rakyat China ini diadakan adalah bagi mempertingkatkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China. Pada masa yang sama, lawatan ini memperkukuh asas pembinaan “China-Brunei Community with a Shared Future” dalam peranan legislatif dalam diplomasi antara parlimen antara kedua-dua negara.
Semasa lawatan kerja tersebut, delegasi telah mengadakan beberapa sesi mesyuarat secara berasingan bersama perwakilan dari National People’s Congress of China (NPC) dan Tianjin Municipal People’s Congress yang telah membincangkan peluang bagi kerjasama dua hala antara badan legislatif Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China, di samping menerokai kerjasama dalam bidang teknologi, kebudayaan dan pembangunan mampan.
Delegasi juga telah berkesempatan untuk mengikuti beberapa siri lawatan ke kilang pembuatan Xiaomi, Longyuan Power Bohai Chemical PV Power Station, Tianjin Port Smart Zero-Carbon Terminal, China-Singapore Tianjin Eco-City, dan iFLYTEK Smart Valley AI Industrial Demonstration Base yang mempamerkan kemajuan-kemajuan Republik Rakyat China di dalam inovasi teknologi, tenaga boleh diperbaharui, pelabuhan pintar, perancangan bandar mampan dan kecerdasan buatan (artificial intelligence).
Lawatan berkenaan disifatkan signifikan dalam mempertingkatkan hubungan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China di peringkat legislatif, dan bagi mengukuhkan kerjasama baik dua hala dalam pelbagai bidang penting termasuk sosioekonomi, pembangunan belia dan diplomasi antara budaya.




