Hari Selasa, 28 Julai 2026, Bandar Seri Begawan – Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat hari ini telah menerima lawatan daripada delegasi Program Futuru Lider Ba ASEAN (FLBA) Cohort 3 dari Republik Demokratik Timor-Leste yang terdiri daripada 11 orang peserta. Turut hadir ialah Tuan Yang Terutama Abel Guterres, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor-Leste ke Negara Brunei Darussalam, bersama pegawai-pegawai Kedutaan.
Lawatan tersebut bertujuan untuk memberikan pendedahan mengenai peranan dan fungsi Majlis Mesyuarat Negara (MMN), proses persidangan serta penglibatan MMN dalam kerjasama dan diplomasi parlimen di peringkat serantau dan antarabangsa. Program turut memberi peluang kepada para peserta untuk bertukar-tukar pandangan mengenai amalan parlimen serta sistem perundangan di Negara Brunei Darussalam.
Sebagai sebahagian daripada program, para peserta turut mengadakan sesi dialog bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, iaitu Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee dan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin, yang memfokuskan kepada kepimpinan wanita dan pembangunan inklusif di Negara Brunei Darussalam, bagi pertukaran pandangan dan perkongsian pengalaman.
Lawatan tersebut mencerminkan kepentingan kerjasama antara institusi parlimen dalam memperkukuh persefahaman, bertukar-tukar pengetahuan dan pengalaman serta menggalakkan perkongsian amalan terbaik dalam menyokong pembangunan institusi perundangan di rantau ASEAN.




