BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 28 Mac. – Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS) telah menyediakan satu platform khusus melalui Anugerah Hari Belia Kebangsaan bagi memberikan pengiktirafan kepada golongan belia dalam kategori Projek Cemerlang Untuk Belia.
Anugerah ini dikhususkan untuk mengiktiraf usaha inovatif belia yang memberi impak besar kepada masyarakat dan ekonomi negara khususnya dalam bidang keusahawanan termasuk projek yang berkaitan dengan perkhidmatan, sektor perkhidmatan, sektor pendidikan, sektor teknologi termasuklah sektor pertanian dan agrimakanan.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad semasa menjawab kepada soalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin berkaitan dengan impak dan pencapaian penerima Anugerah Cemerlang Belia perniagaan atau dalam bidang keusahawanan terutamanya kepelbagaian ekonomi negara khususnya dalam sektor pertanian dan agrimakanan.
Oleh kerana skop anugerah ini amat luas, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menambah, kita dapat melihat kepelbagaian inovasi belia. Namun, dalam masa yang sama, kita harus mengakui bahawa penyertaan dan pencapaian dalam bidang pertanian dan agrimakanan masih berada pada tahap yang ‘relatively’ rendah berbanding kluster perniagaan atau perkhidmatan lain.
“Contoh, kejayaan seperti syarikat Fatih Aquaculture dari sektor perikanan yang menerima Anugerah Projek Cemerlang Untuk Belia pada tahun 2023 dan Syarikat Marimin dari sektor pemprosesan makanan yang telah menerima Anugerah Pengusaha Belia pada tahun 2008, adalah segelintir daripada kisah kejayaan, ‘success stories’ yang ada. Sebenarnya banyak lagi ‘success stories’.
“Sejak tahun berkenaan, ‘every year’, setiap tahun ada saja didengar ‘success story’ yang keluar mengenai dengan pencapaian belia dalam bidang ini,” kongsi Yang Berhormat pada hari ke-11 Persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi, berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Jelas Yang Berhormat, walau bagaimanapun, kementerian ini memaklumi terdapat pengiktirafan khusus kepada usahawan dalam sektor pertanian dan agrimakanan melalui Anugerah Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Anugerah ini ujar Yang Berhormat, juga menjadi platform penghargaan kepada pengusaha yang berjaya di samping menyokong usaha negara memperkasa sektor bukan minyak, mencapai keselamatan makanan serta menyumbang kepada agenda pempelbagaian ekonomi Negara Brunei Darussalam.
Dengan itu, mana-mana anugerah yang diberikan, sama ada ia Anugerah Belia Cemerlang, Anugerah Peladang dan macam-macam lagi anugerah, sememangnya diharapkan untuk memberikan motivasi dan inspirasi kepada semua masyarakat termasuklah belia, terang Yang Berhormat.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


