PHNOM PENH, KEMBOJA, Rabu, 27 November. – Majlis Mesyuarat Negara baru-baru ini menghadiri Mesyuarat Plenari Ke-11 International Parliament for Tolerance and Peace (IPTP) di Phnom Penh, Kemboja, dari 23 hingga 26 November 2024.
Delegasi Negara Brunei Darussalam (NBD) diwakili oleh Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin dan Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, berserta seorang pegawai dari Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat.
Mesyuarat yang dianjurkan oleh National Assembly of the Kingdom of Cambodia bersama Global Council for Tolerance and Peace (GCTP), dihadiri oleh 275 perwakilan daripada 53 buah negara.
Bertemakan ‘A Quest for Peace, Reconciliation and Tolerance’, mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada isu keamanan dan toleransi.
Semasa Sesi Pembukaan, Presiden Senat Kemboja, Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen, dianugerahkan ‘Peace Medal : For People and the Planet’ atas kepimpinan dan sumbangan beliau dalam keamanan dan pembangunan sosial melalui dasar Win-Win Policy.
Mesyuarat berkenaan turut menghasilkan Universal Peace Charter yang sejajar dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Piagam berkenaan menggariskan lima tindakan utama untuk menangani bencana alam, keselamatan makanan, dan keadilan dalam pengurusan sistem global.
Mesyuarat juga menyaksikan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara GCTP dan badan-badan antarabangsa, Inter-Parliamentary Union (IPU), International Conference of Asian Political Parties (ICAPP), dan ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA), sebagai langkah memupuk toleransi dan persefahaman.
Pada Sesi Penutup, Presiden Dewan Perwakilan Kemboja, Samdech Moha Rathsapheathika Thipadei Khuon Sudary, menekankan kepentingan kerjasama antara negara untuk membina ekosistem keamanan serantau serta memperkasa penglibatan wanita bagi mencapai keamanan dan kemakmuran.
(sumber berita: Pelita Brunei)




