27.02.25 Memastikan Sistem Pendidikan Lahirkan Tenaga Kerja Bersedia

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Februari. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang diadakan petang tadi di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, mengongsikan antara sumbangan Ahli-ahli Yang Berhormat dalam memajukan agenda negara ialah melalui sesi dialog, muzakarah, lawatan kerja serta interaksi dengan rakyat, agensi kerajaan, NGO serta kumpulan-kumpulan orang yang berkepentingan.

Dalam perbahasan itu, Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bersetuju dan menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk Ahli MMN turun padang.

Yang Berhormat juga turut mengongsikan salah satu sesi turun padang yang besar yang telah dilaksanakan ialah kaji selidik yang diungkayahkan oleh beberapa Ahli MMN, dengan mendapatkan sepuluh peratus daripada warga pendidik dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Kaji selidik yang memakan masa hampir empat bulan itu katanya, telah mengumpul lebih 35,000 data melibatkan hampir enam ratus warga pengajar daripada kedua-dua kementerian tersebut di seluruh negara, di mana hasil daripada sesi kaji selidik itu telah pun dikumpul, dianalisis dan dikongsikan bersama kepada pihak-pihak yang berkepentingan di kedua-dua kementerian untuk penelitian dan sebarang tindakan lanjut.

Di samping itu, Yang Berhormat juga menyambut baik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap perubahan persidangan kepada dua sesi setahun, pengubahan Kod Etika Ahli-ahli Majlis dan memperkemaskinikan prosedur dewan.

Penggubalan Kod Etika untuk Ahli-ahli Majlis sejajar dengan Kod Etika parlimen antarabangsa tambahnya, akan memberikan kepercayaan bahawa ahli dan institusi MMN bukan saja komited juga berintegriti dan tulus dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab.

Menurut Yang Berhormat, sesi persidangan majlis yang akan datang juga dapat memberikan peluang kepada Ahli-ahli Yang Berhormat untuk melaksanakan semakan pertengahan penggal (mid-term review) terhadap kemajuan yang dicapai, di samping dapat memberikan peluang kepada kementerian-kementerian untuk menerima balik timbal balas bagi penyediaan belanjawan dan program tindakan kementerian pada tahun hadapan.

Mengenai perkembangan sektor hiliran dan industri petrokimia pula, Yang Berhormat berpendapat bahawa negara sudah perlu meningkatkan usaha untuk melengkapkan tenaga kerja tempatan yang mahir bukan sahaja bakal mengisi kekosongan dalam industri itu nanti tetapi juga bagi menyediakan kepakaran anak tempatan untuk memantau operasi industri yang berisiko tinggi dan mencabar ini supaya sentiasa beroperasi dengan selamat mengikut piawaian antarabangsa.

“Oleh itu, kaola berpendapat kita perlu memastikan sistem pendidikan kita agar dapat melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja bersedia untuk memasuki industri di ‘level’ bekerja tapi sudah bersedia untuk mengisi peringkat-peringkat kepimpinan dalam industri itu.

“Ini termasuklah mengkaji semula kurikulum dan program latihan Skim Apprenticeship dalam industri agar selaras dengan keperluan sektor hiliran dan industri petrokimia yang akan pesat dikembangkan,” ujar Yang Berhormat lagi. Kematangan sektor swasta dalam mendukung industri petrokimia mestilah dikenal pasti sekarang dan dibangunkan untuk merealisasikan rantaian nilai yang diharapkan.

Mengenai perkembangan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI), Yang Berhormat bersetuju bahawa AI merupakan perkembangan yang menarik dan berpotensi besar untuk memajukan negara.

Namun menyedari akan risiko-risiko yang mungkin timbul daripada perkembangan itu, beliau berpendapat bahawa sudah masanya untuk menubuhkan sebuah pasukan ataupun agensi yang khusus untuk memahami teknologi baharu ini serta menangani risiko-risiko yang berkaitan dengan AI dan bagaimana kita dapat memanfaatkan peluang-peluang yang ditawarkan oleh teknologi tersebut.

Yang Berhormat juga dalam perbahasannya turut mengemukakan tentang perjalanan menuju Wawasan Brunei 2035 yang mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menitahkan memerlukan kerjasama, inovasi dan semangat juang daripada semua pihak.

Memandangkan hanya tinggal sembilan tahun lagi untuk mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035, Yang Berhormat berpendapat bahawa rakyat dan sebahagian warga penjawat awam perlu sentiasa diingatkan dan ditunjukkan kemajuan yang telah dicapai setakat ini, untuk menunjukkan kemajuan ketara daripada pencapaian yang sedang dijalankan.

Ini katanya, adalah penting untuk meyakinkan serta membolehkan rakyat serta warga kerajaan merasa teruja dan turut mahu mengambil peranan menyumbang ke arah pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035.

Terdahulu Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman dalam mukadimahnya menyatakan sokongan terhadap usul yang dicadangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas keberangkatan dan mengurniakan titah sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN tahun ini.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI