27.02.25 Lengkapi Rakyat Dengan Kebolehan, Kepakaran Inovatif

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Februari. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih menyatakan sokongan beliau terhadap usul yang dikemukakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman serta menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan baginda dan seterusnya berkenan mengurniakan titah di Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21, MMN baru-baru ini.

Yang Berhormat menjunjung kasih atas penghargaan baginda mengenai sesi dialog muzakarah dan lawatan kerja yang dilaksanakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat, yang menjadi pendorong dan semangat untuk terus meningkatkan usaha-usaha serta ikhtiar demi kemajuan dan kesejahteraan Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat juga menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai perubahan kekerapan persidangan kepada dua kali setahun bermula tahun ini, yang mana Yang Berhormat percaya perubahan itu akan membolehkan Ahli-ahli Yang Berhormat untuk memberi tumpuan yang lebih mendalam kepada isu-isu yang penting dan mendesak, sekali gus memastikan segala perbincangan dan keputusan yang diambil adalah lebih fokus dan berkesan.

“Kaola juga menyokong penuh titah baginda dalam keperluan penggubalan Kod Etika Ahli-ahli Majlis dan bersetuju penggubalan ini amat penting bagi memastikan Ahli-ahli Majlis dapat melaksanakan tugas dengan lebih berkesan dan berintegriti tinggi.

“Kaola sedar bahawa Ahli-ahli Yang Berhormat sentiasa diperhatikan oleh rakyat dan oleh itu kami perlu sentiasa mewakili dan mempromosikan tingkah laku yang beretika,” ujarnya lagi pada persidangan yang diadakan di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis.

Menyentuh mengenai pengemaskinian dasar caj perkhidmatan yang sedia ada bagi penduduk tetap yang tidak mempunyai status kewarganegaraan, Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty menyokong penuh titah berkenaan yang menunjukkan keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap kesejahteraan semua penduduk di negara ini.

“Kaola juga menyambut titah baginda mengenai peningkatan purata pertumbuhan sebanyak 4.3 peratus dari tahun 2017 hingga 2023. Walaupun negara kita masih bergantung kepada sektor minyak dan gas, namun kaola percaya bahawa kita perlu mempelbagaikan ekonomi negara termasuklah aspirasi-aspirasi yang dihasratkan dalam Economic Blueprint yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan,” ujarnya.

Antara salah satu sektor perekonomian utama katanya, adalah sektor hiliran minyak dan gas, di mana Yang Berhormat juga menyambut baik usaha-usaha baharu untuk memberi tumpuan kepada sektor huluan oleh Jabatan Tenaga, yang insyaaAllah akan membantu mengembangkan portfolio hidrokarbon negara, di samping kemasukan operator-operator baharu bagi mengusahakan sektor minyak dan gas yang dapat memberi persaingan yang positif dan memacu pertumbuhan sektor berkenaan.

Selain itu, Yang Berhormat juga berpendapat bahawa jika peratusan tinggi tenaga domestik dapat dipenuhi oleh sumber tenaga boleh diperbaharui (renewable) maka kita dapat mengalihkan fokus penjualan gas kita untuk bantu LNG. Ini bukan sahaja akan meningkatkan nilai eksport tetapi juga akan membantu memperkukuhkan ekonomi negara.

Menyentuh mengenai penekanan Kebawah Duli Yang Maha Mulia terhadap revolusi teknologi khususnya Artificial Intelligence (AI), Yang Berhormat bersetuju dengan titah baginda bahawa ia membuka peluang baharu yang memerlukan kita untuk terus memperkasa sumber manusia dan keupayaan negara. “Kaola percaya bahawa dengan memperkasa sumber-sumber manusia, kita dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang-peluang dalam bidang ini,” tambahnya.

Beliau juga menyokong penuh titah baginda agar perjalanan menuju Wawasan Brunei 2035 memerlukan kerjasama inovasi dan semangat juang yang tinggi daripada semua pihak, serta berpendapat bahawa kita perlu melengkapi rakyat dengan kebolehan dan kemahiran yang inovasi selaras dengan matlamat kedua Wawasan Brunei 2035, rakyat berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

“Dengan melengkapi rakyat kita dengan kebolehan dan kepakaran yang inovatif, kita dapat memastikan bahawa mereka dapat menyumbang secara aktif dan berkesan kepada pembangunan negara,” jelas Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat juga berharap agar persidangan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi mencapai objektif pembangunan dan kemajuan negara melalui perbincangan-perbincangan yang dilaksanakan dengan pemikiran kreatif dan tindakan strategik dalam menjadikan Brunei sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI