27.02.25 Kerjasama erat antara sektor kerajaan, swasta terus diperkukuhkan

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Februari. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi petang tadi menyentuh antara inti pati titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN, baru-baru ini.

Menurut Yang Berhormat, titah baginda mencerminkan wawasan jauh baginda dalam memastikan pembangunan dan kemakmuran negara terus terpelihara dan diperkukuh.

Yang Berhormat seterusnya menjunjung kasih atas limpah kurnia dan kebijaksanaan baginda dalam memperkenankan Persidangan MMN diadakan sebanyak dua kali setahun di mana satu anugerah yang bakal mengukuhkan lagi martabat institusi ini dalam menjalankan peranannya secara lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat.

“Ahli-ahli MMN mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan setiap perbahasan yang dikemukakan adalah menjurus kepada solusi dan berpandukan kepada analisis yang berwibawa bagi meningkatkan keberkesanan dasar kerajaan,” ujar Yang Berhormat pada mesyuarat yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis.

Dalam masa yang sama, jelas Yang Berhormat, hasrat baginda untuk memperkenalkan Kod Etika bagi Ahli-ahli Majlis merupakan suatu perkembangan penting yang akan memastikan integriti dan profesionalisme terus menjadi asas kepada setiap tindakan dan keputusan yang dibuat. Dengan adanya panduan ini tambah Yang Berhormat lagi, institusi MMN akan lebih dihormati dan diyakini oleh rakyat.

Dalam bidang kesihatan pula, jelas Yang Berhormat, langkah progresif dan memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan bagi penduduk tetap yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan (stateless) mencerminkan nilai keprihatinan dan kesejahteraan yang sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

“Untuk memastikan perlaksanaannya berjalan dengan baik, adalah penting bagi sistem pemantauan dan pengagihan sumber dilakukan dengan cermat agar penyampaian perkhidmatan kesihatan lebih adil dan berkesan kepada semua yang memerlukan.

“Usaha ini juga perlu diselaraskan dengan keperluan jangka panjang dalam memastikan sistem kesihatan negara terus mampan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” ujar Yang Berhormat.

Dari segi ekonomi kata Yang Berhormat lagi, meskipun kejayaan telah dicapai dalam sektor bukan minyak dan gas, usaha perlu terus dipergiatkan bagi memastikan pertumbuhan yang mampan serta kebergantungan terhadap sektor tenaga masih tinggi dan usaha untuk memperkukuhkan lagi kepelbagaian ekonomi perlu diperkasa.

Menurut Yang Berhormat, pembangunan industri bernilai tinggi seperti teknologi hijau, pertanian pintar dan ekonomi digital perlu dipercepatkan bagi memastikan daya saing negara terus meningkat.

“Pada masa yang sama, kita juga perlu melihat sektor pelancongan dan perkhidmatan dengan lebih serius. Negara kita mempunyai potensi besar dalam sektor ini dan dengan strategi pemasaran yang lebih komprehensif serta pemerkasaan ekosistem pelancongan, negara boleh menjadi destinasi pilihan yang menarik bagi pelancong antarabangsa dan memberikan manfaat kepada ekonomi tempatan,” ujar Yang Berhormat.

Dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks kata Yang Berhormat lagi, pembangunan keupayaan teknologi tempatan juga merupakan satu keperluan yang mendesak, Kecerdasan Buatan (AI) menawarkan peluang besar dalam meningkatkan daya saing dan kecekapan dalam pelbagai sektor.

Oleh itu, jelasnya, usaha perlu dipergiatkan dalam memperkukuhkan infrastruktur teknologi, menggalakkan penyelidikan dan inovasi serta memperkasa modal insan dalam bidang teknologi tinggi.

Tambah Yang Berhormat, kerjasama erat antara sektor kerajaan ‘academia’ dan industri swasta harus diperkukuhkan lagi bagi memastikan negara bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada perkembangan teknologi baharu.

Yang Berhormat berkata, perancangan strategik yang lebih holistik perlu diambil agar transformasi digital dapat memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh dan mewujudkan peluang baharu dalam pasaran pekerjaan.

Dalam memastikan pencapaian Wawasan Brunei 2035 tambah Yang Berhormat, setiap dasar dan inisiatif yang dibawa ke dalam perbahasan MMN haruslah mengambil kira perkembangan dan cabaran global yang sentiasa berubah.

Yang Berhormat seterusnya menyatakan, pendekatan yang inklusif dan berpandangan jauh amat diperlukan bagi memastikan matlamat negara dapat direalisasikan secara mampan dan berkesan dan ia memerlukan sinergi dan kerjasama antara sektor awam dan swasta serta penglibatan rakyat dalam melaksanakan strategi pembangunan nasional.

“Kita perlu memastikan bahawa semua dasar yang dibangunkan benar-benar mencerminkan kepentingan rakyat dan membawa manfaat jangka panjang kepada negara,” ujar Yang Berhormat.

Sebagai institusi tertinggi dalam penyampaian suara rakyat tambahnya lagi, MMN mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran negara terus terpelihara.

Yang Berhormat menambah, dengan iltizam yang tinggi dan semangat berpasukan kita dapat memastikan setiap keputusan dan cadangan yang dikemukakan membawa impak yang positif dan berkesan.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI