27.02.25 Kepelbagaian ekonomi negara tunjuk hasil positif

​BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Februari. – Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara rakyat dan kerajaan.

Peranan ini tidak hanya terbatas kepada menyampaikan suara rakyat tetapi juga dalam memastikan setiap dasar dan projek yang dilaksanakan benar-benar berkesan serta memberi manfaat kepada masyarakat melalui sesi muzakarah, tinjauan dan perbincangan pelbagai usaha telah dijalankan bagi mengkaji semula projek-projek terdahulu sama ada untuk diteruskan, diperbaiki atau digantikan dengan inisiatif yang lebih relevan dan bermanfaat.

Perkara demikian antara yang dikongsikan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, Ketua Kampung Subok dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi petang tadi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Semasa menyentuh antara isu penting berdasarkan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat juga mengongsikan, pendekatan tersebut memastikan sumber negara digunakan secara optimum selari dengan keperluan dan harapan rakyat.

“Dalam konteks ini kesinambungan dialog dan kerjasama yang erat antara kerajaan dan pemimpin masyarakat adalah amat penting. Setiap dasar yang dirancang perlu dibentuk melalui maklum balas yang menyeluruh daripada rakyat di peringkat akar umbi.

“Dengan adanya platform perbincangan yang lebih terbuka dan sistematik kita dapat memastikan setiap keputusan yang dibuat benar-benar membawa impak yang positif dan menyumbang kepada kesejahteraan serta kemajuan negara,” ujar Yang Berhormat.

Dalam usaha memastikan keberkesanan MMN, Yang Berhormat menyambut baik langkah yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk meningkatkan kekerapan persidangan kepada dua kali setahun serta mengemaskini Peraturan Majlis Mesyuarat.

Menurut Yang Berhormat, langkah itu bukan saja membolehkan perbincangan yang lebih mendalam tetapi juga memastikan penyelesaian isu-isu utama dalam dapat dicapai dengan lebih bersistematik dan berkesan.

Selain itu, Yang Berhormat juga menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan penggubalan Kod Etika bagi Ahli-ahli Majlis dan ia adalah satu inisiatif yang sangat penting dalam memperkukuhkan lagi profesionalisme dan akauntabiliti dalam menjalankan amanah yang telah diberikan oleh rakyat dan negara.

Yang Berhormat menambah, dengan adanya garis panduan yang jelas akan dapat memastikan setiap perbincangan dan keputusan yang dibuat adalah berdasarkan prinsip ketelusan, integriti dan kepentingan negara yang tertinggi.

Yang Berhormat percaya dengan adanya perubahan positif itu MMN akan terus berkembang sebagai sebuah platform yang lebih efektif dan berwibawa dalam memperjuangkan kepentingan rakyat serta menyokong agenda pembangunan negara selaras dengan Wawasan Brunei 2035 dan pembangunan dan kepelbagaian ekonomi.

Menurut Yang Berhormat lagi, usaha untuk mempelbagaikan ekonomi negara semakin menunjukkan hasil yang positif dan langkah ini amat penting bagi memastikan ekonomi negara kekal mampan dan tidak terlalu bergantung kepada sektor sahaja.

Dalam hal ini, Yang Berhormat ingin menekankan bahawa penduduk kampung juga mempunyai peranan yang besar dalam menyokong usaha ini dengan menyertai aktiviti ekonomi baharu seperti pertanian moden, pelancongan desa serta Perusahaan Kecil dan Sederhana iaitu SME.

“Mereka boleh menjadi lebih berdikari dalam menjana pendapatan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh. Namun untuk merealisasikan perkara ini, bimbingan dan sokongan daripada kerajaan serta sektor swasta amat diperlukan. Kita perlu memastikan akses kepada latihan teknologi serta bantuan kewangan yang mencukupi agar inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Kaola yakin dengan adanya kerjasama yang erat antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat, usaha untuk mempelbagaikan ekonomi negara akan terus membuahkan hasil yang lebih cemerlang dan mampan,” ujar Yang Berhormat.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI