26.07.25 Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara Menerima Kunjungan Hormat Daripada Timbalan Pengarah Urusan Bagi Asia dan Pasifik Di Perkhidmatan Tindakan Luar Eropah (EEAS), Delegasi Kesatuan Eropah (EU) Ke Indonesia dan Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 26 Julai. – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Pengarah Urusan bagi Asia dan Pasifik di Perkhidmatan Tindakan Luar Eropah (European External Action Service -EEAS), Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Indonesia dan Negara Brunei Darussalam (NBD), Ms. Paola Pampaloni berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Rombongan turut disertai oleh Duta Besar EU ke Indonesia dan NBD, Tuan Yang Terutama Denis Chaibi; Ketua Bahagian Asia Tenggara dan ASEAN di EEAS, Ms. Leila Fernández-Stembridge dan Timbalan Ketua Bahagian Asia Tenggara dan ASEAN di EEAS, Ms. Simona Popan.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Awang Haji Ibrahim dan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin.

Perjumpaan ini merupakan sebahagian daripada usaha bersama untuk memperkukuh hubungan dua hala antara NBD dan EU, sejajar dengan peranan negara selaku Penyelaras ASEAN bagi EU.

Perbincangan menumpukan kepada perkembangan Perjanjian Kerjasama (Partnership and Cooperation Agreement, PCA) antara kedua-dua pihak, khususnya dalam meneruskan dialog dan menggalakkan kerjasama dalam bidang-bidang yang menjadi keutamaan bersama.

Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai hal ehwal serantau dan antarabangsa, termasuk isu-isu membimbangkan yang menjadi keprihatinan bersama, kepentingan memelihara keamanan dan kemakmuran sejagat serta komitmen terhadap sistem multilaterisme.

Perbincangan juga menyentuh usaha dalam mengukuhkan kerjasama perdagangan dan memupuk keterangkuman serta perpaduan dalam menghadapi cabaran global masa kini.

Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei

BERITA TERKINI