BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 26 April. – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib telah menerima kunjungan hormat daripada Kaunselor Kanan Hal Ehwal Parlimen bagi Delegasi Kesatuan Eropah (EU), Antoine Ripoll hari ini.
Majlis yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis berkenaan juga dihadiri oleh Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah.
Turut hadir, Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee; dan Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin.
Perbincangan antara kedua-dua pihak menyentuh hubungan erat antara EU dan ASEAN serta usaha-usaha berterusan dalam memperkukuhkan kerjasama.
Pada masa yang sama, kedua-dua pihak juga turut menekankan kepentingan memperluaskan hubungan dengan rakyat (people-to-people), khususnya dalam memberi lebih banyak peluang kepada golongan belia.
Dengan semangat kerjasama yang lebih kukuh, kedua-dua pihak berharap ia akan membawa manfaat besar serta menyumbang kepada masa depan yang lebih makmur bagi kedua-dua rantau EU dan ASEAN.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




