BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Mac. – Sistem pembayaran digital Negara Brunei Darussalam ‘Tarus’ dijangka akan digunakan secara lebih meluas dalam masa yang terdekat ini dengan memperkenalkan kod QR pada fasa kedua.
Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha menjelaskan perkara itu bagi menjawab soalan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof pada hari ke-10 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Sementara itu, sistem identiti digital kebangsaan, Brunei ID, yang diperkenalkan pada awal tahun ini juga sedang digunakan secara berperingkat. Pada masa ini, hanya beberapa sistem tertentu boleh mengakses BruneiID, khususnya bagi aplikasi kerajaan.
“Pada masa yang sama, perbincangan juga sedang dijalankan dengan syarikat swasta yang mungkin akan menggunakan BruneiID sebagai alat Electronic Know Your Customer (EKYC) untuk mengakses aplikasi-aplikasi dalam talian,” kata Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Yang Berhormat turut menjawab persoalan mengenai peranan agensi-agensi kerajaan dalam mengawal selia dan melaksanakan rangka kerja undang-undang serta dasar bagi memastikan keselamatan dan mengelak sebarang kejadian penipuan (scammer), sebuah ‘helpline’ telah ditubuhkan bagi membolehkan orang ramai mendapatkan rujukan dan bantuan untuk menangani isu-isu penipuan tersebut.
Menurut Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, belanjawan dalam pelaksanaan program Digitalization Brunei tidak hanya terhad pada Smart Nation Office tetapi ia juga di bawah biayaan kementerian-kementerian yang melaksanakan projek-projek mereka yang tertentu.
Menyentuh mengenai Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC) di mana peratus jumlah kakitangan yang IT Certified pada tahun 2024/2025 adalah 37 peratus dan anggaran bagi tahun 2025/2026 dan seterusnya 2026/2027 menurun kepada 10 peratus, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan mempersoalkan punca penurunan peratus tersebut.
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menjelaskan bahawa EGNC menunjukkan peningkatan belanjawan yang diperuntukkan pada tahun ini. Berhubung dengan kompetensi kakitangan EGNC yang dikongsikan sebelum ini, Yang Berhormat dimaklumkan bahawa di bawah inisiatif MTIC 2030, adalah disarankan supaya 100 peratus kakitangan EGNC menerima pensijilan profesional sejajar dengan sasaran yang telah ditetapkan.
Mengenai Pengurusan Transformasi Digital dan Inovasi, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan menjelaskan peningkatan penggunaan media sosial secara berlebihan telah menimbulkan masalah ‘digital fatigue dan digital addiction’ khususnya dalam kalangan belia dan kanak-kanak berumur 16 tahun ke bawah.
Sementara, mengenai perancangan dan pendekatan strategik kementerian bagi membanteras penggunaan media sosial yang berlebihan, Yang Berhormat mencadangkan memperkukuh pengawalseliaan dan pendidikan digital bagi melindungi pembentukan sahsiah serta mengelakkan kesan sosial negatif termasuk eksploitasi ‘online’ seperti ‘cyberbullying’ dan skim kewangan demi kesejahteraan serta kesihatan minda kanak-kanak.
Sebagai contoh, negara jiran seperti Malaysia, Australia dan United Kingdom telah menguatkuasakan undang-undang untuk melindungi golongan remaja dan kanak-kanak bawah 16 tahun.
Jawapan daripada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menyatakan bahawa pengawalseliaan penggunaan media sosial bagi mereka yang berumur bawah 16 tahun sedang diteliti untuk diaplikasikan di negara ini.
Bezanya ujar Yang Berhormat lagi, penyedia platform media sosial di negara-negara tersebut bertapak di negara mereka yang membolehkan undang-undang dikenakan. Manakala di negara ini, penyedia platform sosial media tidak bertapak di sini, justeru pihak kementerian sedang meneliti bagaimana kuasa undang-undang tempatan boleh diaplikasikan terhadap aplikasi dan platform tersebut.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




