BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Mac. – Isu keselamatan jalan raya bagi penunggang basikal dapat ditangani dengan lebih berkesan melalui pendekatan menyeluruh yang merangkumi infrastruktur, peraturan, dan kesedaran awam, sekali gus mewujudkan persekitaran jalan raya yang lebih selamat dan inklusif untuk semua.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, juga Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau berkata, isu kemalangan jalan raya yang melibatkan penunggang basikal dilihat semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.
“Perkara ini juga telah disentuh dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Pembukaan MMN yang antara lain menekankan kepentingan keselamatan jalan raya serta tanggungjawab semua pihak dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” kata Yang Berhormat pada hari ke-10 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat mencadangkan beberapa langkah dalam menangani isu berkenaan antaranya menyediakan laluan khas basikal (dedicated bicycle lane) yang lebih selamat dan berasingan daripada kenderaan bermotor.
Selain itu, Yang Berhormat turut mencadangkan pemasangan papan tanda amaran dan penandaan jalan yang lebih jelas, selain penguatkuasaan penggunaan peralatan keselamatan seperti topi keledar dan lampu pada waktu malam.
“Dan keempat, pelaksanaan kempen kesedaran awam yang berterusan seterusnya serta menetapkan garis panduan khusus bagi aktiviti berbasikal berkumpulan agar tidak mengganggu aliran trafik,” kata Yang Berhormat.
Sementara itu, Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat mengulas mengenai perkembangan pesat perkhidmatan ‘runners’ di negara ini sama ada secara persendirian mahupun melalui syarikat berdaftar.
“Perkembangan ini selaras dengan perubahan ekonomi semasa yang semakin dipacu oleh perdagangan digital dan perkhidmatan dalam talian serta menyumbang kepada peluang, pendapatan dan pertumbuhan ekonomi domestik.
Namun begitu, ujar Yang Berhormat, terdapat cabaran dari segi penyelarasan, keselamatan dan keseimbangan antara pengendali individu dengan syarikat berdaftar.
“Sehubungan itu, kaola mencadangkan agar satu sistem yang lebih bersistematik diwujudkan.
“Antaranya pendaftaran berpusat, piawaian keselamatan dan kualiti serta penggunaan platform digital rasmi.
“Cadangan ini adalah selaras dengan fokus belanjawan untuk memperkasakan ekonomi melalui transformasi dan inovasi serta meningkatkan kecekapan sistem perkhidmatan,” kata Yang Berhormat.
Selain itu, Yang Berhormat, juga mencadangkan pendekatan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta sebagai model menang-menang.
“Bagi membangunkan industri ini secara tersusun tanpa menjejaskan perniagaan sedia ada, kaola yakin dengan pendekatan ini, perkhidmatan ‘runners’ berpotensi berkembang menjadi industri yang lebih mampan dan berdaya saing,” ujar Yang Berhormat lagi.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




