BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Mac. – Isu keselamatan jalan raya khususnya melibatkan para penunggang basikal yang memang terdedah secara langsung, dengan risiko tinggi terlibat dalam kemalangan jalan raya dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin.
“Seperti yang ‘kitani’ maklum dan termaktub dalam Road Traffic Act, Chapter 68 dan Road Traffic Bicycle Regulation 2006, gubalan terkini 2022, penunggang basikal adalah salah satu pengguna jalan raya di negara ini.
“Penunggang basikal juga terkawal pergerakan mereka atas jalan raya dengan undang-undang dan peraturan seperti menunggang di tepi kiri jalan, tidak boleh menunggang beriring, iaitu untuk penunggang berkumpulan, memakai topi keledar keselamatan, mesti pakai baju yang cerah, pasang lampu semasa waktu malam atau gelap dan sebagainya dengan mematuhi semua undang-undang jalan raya secara menyeluruh.
“Dalam undang-undang yang sedia ada, tidak ada kenyataan menyatakan yang menunggang basikal di atas lebuh raya dilarang, di’banned’, kecuali jika ada halangan melalui papan tanda atau arahan oleh pihak berkuasa,” kata Yang Berhormat.
Yang Berhormat berkata demikian pada hari ke-10 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Tambah Yang Berhormat lagi, dalam usaha menggalakkan penggunaan kaedah pengangkutan alternatif di negara ini, serta mengambil kira bahawa majoriti jalan raya dua hala, ‘single carriageway’ adalah kurang mesra (less user-friendly) kepada penunggang basikal pada ketika itu, inisiatif Share The Road Campaign telah diperkenalkan lebih lima tahun yang lalu. Kempen tersebut telah dibarigakan secara menyeluruh kepada semua pengguna jalan raya termasuk pemandu kenderaan dan penunggang basikal. Pada masa tersebut, pembarigaan yang berterusan telah menunjukkan kesan positif, di mana pemandu kenderaan memahami tanggungjawab masing-masing. Manakala penunggang basikal juga jelas mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan (the do’s and the don’ts) ketika menunggang di jalan raya.
“Cadangan kaola, jika ia masih bersesuaian dalam pemikiran Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) dan juga dengan peruntukan yang ada untuk kempen ini diaktifkan kembali dan dibarigakan secara menyeluruh ke seluruh negara.
“Pembarigaan yang berterusan adalah sangat penting kerana generasi pengguna jalan raya berubah dari semasa ke semasa.
“Kenderaan pengguna pada 10 tahun yang lalu tidak akan ada kesinambungannya kepada generasi pengguna jalan raya pada masa ini dan masa akan datang, dan di sinilah pentingnya kempen kesedaran atau berterusan ataupun di’banned’ sama sekali di ‘highway’,” jelas Yang Berhormat.
Yang Berhormat juga mengongsikan bahawa kajian terdahulu oleh para penyelidik telah membuktikan bahawa antara 80 hingga 85 peratus punca kemalangan jalan raya adalah berpunca daripada kelibat pemandu, termasuk kecuaian seperti menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
Tambah Yang Berhormat, pemanduan terlalu laju bukan saja meningkatkan risiko terlibat dalam kemalangan akan tetapi meningkatkan tahap kecederaan dan kemungkinan risiko tinggi kehilangan nyawa. Dalam usaha membendung kelibat pemanduan terlalu laju, pemasangan ‘speed reminder’ telah pun dilaksanakan di beberapa lokasi di sepanjang lebuh raya di negara ini.
“Dalam hemat kaola, inisiatif ini adalah untuk peringatan sahaja akan tetapi ia tidak membendung pemandu dari memandu dengan laju. Dalam hal ini, kaola ada terbaca satu artikel kajian dari Universiti Teknologi Brunei mengenai sistem yang dipanggil Vehicle Average Speed Monitoring System (ASMoS) menggunakan teknologi Radio Frequency Identification (RFID).
“Fahaman kaola, sistem ini direka untuk membantu pihak penguat kuasa untuk memantau dan mencatat kesalahan berkaitan dengan kelibat pemandu laju.
“Soalan kaola, adakah peruntukan perbelanjaan kemajuan dengan kod akaun 1220-002, iaitu Kajian Sains dan Teknologi dan Inovasi akan digunakan oleh pihak MKKJR untuk mengemas kini dan menambah baik sistem ASMoS itu kepada satu sistem yang menggunakan kaedah Kecerdasan Buatan (AI) dan Vehicle Rracking System yang lebih pintar dan mudah diguna.
“Apa yang kaola maksudkan ialah untuk alat RFID atau mana-mana alat pengesan yang terkini untuk dipasang di kenderaan seperti plat lesen dan pemantauan dibuat dari ‘common center’ dengan kawalan AI selama 24 jam,” soal Yang Berhormat.
Dengan sistem ini, Yang Berhormat yakin kelajuan pemandu akan dapat dipantau dan dikawal 24 jam mengikut had laju yang ditetapkan di jalan raya di negara ini.
“Ini kaola percaya akan dapat membendung kelibat memandu laju dan insyaaAllah kemalangan akibat memandu laju akan dapat dikurangkan.
“Dengan adanya sistem yang pintar ini juga, pihak kerajaan tidak perlu lagi untuk berbelanja besar memasang ‘speed camera’ di sepanjang jalan raya di negara ini,” ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya menyentuh mengenai cadangan penelitian dan penetapan dasar minimum ‘star rating’ bagi kenderaan berpenumpang di negara ini merupakan satu inisiatif yang bernilai, melalui penilaian tahap keselamatan jalan raya menggunakan kaedah ‘star rating’ di negara ini.
Yang Berhormat berpendapat, dalam usaha kita untuk mengurangkan kemalangan jalan raya serta kehilangan nyawa di negara ini, terdapat dua aspek utama yang perlu diberi perhatian, iaitu membendung dan mengawal kelibat pengguna jalan raya serta memastikan kenderaan yang dijual di negara ini adalah berkualiti tinggi dan pintar serta mampu mengelakkan kemalangan melalui ciri-ciri keselamatan aktif, di samping melindungi pemandu dan penumpang daripada kecederaan melalui ciri-ciri keselamatan pasif.
Berdasarkan pemantauan dan maklumat yang diterima oleh Yang Berhormat, kenderaan baharu di negara ini sejak beberapa tahun kebelakangan telah menunjukkan perkembangan yang sangat baik, di mana sebahagiannya telah mencapai taraf empat dan lima bintang. Kenderaan-kenderaan berkenaan diuji oleh badan berkecuali di peringkat antarabangsa melalui kaedah New Car Assessment Programme (NCAP).
Dengan penarafan empat hingga lima bintang jelas Yang Berhormat lagi, kenderaan tersebut telah melalui ujian hentaman (crash test) dan terbukti mampu mengurangkan risiko serta melindungi pemandu dan penumpang daripada kecederaan serius dan kehilangan nyawa, berbanding kenderaan yang hanya bertaraf dua bintang, insyaaAllah.
“Kaola cadangkan NCAP Star Rating atas kenderaan penumpang ini akan dapat diteliti dan dasarnya akan dapat diterapkan ke arah mempergiatkan lagi usaha pengurangan jalan raya dan kecederaan serta kehilangan nyawa,” ujar Yang Berhormat lagi.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




