BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Mac. – Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) telah merangka beberapa langkah jangka pendek termasuk memperkenalkan larangan berbasikal di semua lebuh raya serta jalan utama yang mempunyai had laju melebihi 65 kilometer sejam.
Selain itu, MKKJR juga mencadangkan penyediaan laluan berbasikal terpilih di setiap daerah serta pengemaskinian garis panduan berbasikal bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha memaklumkan perkara tersebut bagi menjawab isu kemalangan jalan raya yang melibatkan penunggang basikal, yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin dan Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, juga Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau pada hari ke-10 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Menurut Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, cadangan jangka sederhana pula melibatkan pelaksanaan tanda-tanda jalan raya bagi mengenal pasti laluan-laluan yang dilarang serta laluan berbasikal terpilih. Pindaan undang-undang berkaitan larangan berbasikal akan dilaksanakan, di samping memperketatkan peruntukan undang-undang terhadap kesalahan-kesalahan lalu lintas bagi meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya.
Dalam pada itu, Yang Berhormat menjelaskan, cadangan jangka panjang melibatkan penyediaan laluan berbasikal khas. Usaha tersebut turut merangkumi penyediaan rancangan kemajuan tempatan yang mengambil kira laluan-laluan berbasikal serta keperluan keterhubungan mobiliti aktif.
Dalam hubungan ini tambah Yang Berhormat, bagi melaksanakan larangan tersebut, pindaan di bawah Road Traffic Bicycle Regulations, Road Traffic Act (Chapter 68) akan dilakukan. Jalan-jalan yang akan dilarang berbasikal termasuklah Lebuhraya Muara-Belait, Lebuhraya Tungku, Lebuhraya Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Lebuhraya Rimba, Lebuhraya Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Lebuhraya Tungku-Jerudong serta Jalan Utama Mentiri, Jalan Kebangsaan, Jalan Utama Berakas, Jalan Junjungan, Jalan Labu Puni, Jalan Penghubung Tanah Jambu dan Jalan Rasau.
“Berhubung dengan cadangan rangkaian laluan sebagai laluan alternatif untuk aktiviti berbasikal, MKKJR telah bekerjasama dengan Brunei Cycling Federation dan telah mengenal pasti beberapa rangkaian laluan untuk aktiviti berbasikal khususnya aktiviti ‘sport cyclist’ di Daerah Brunei dan Muara yang dicadangkan adalah laluan Stadium yang akan dibukakan setiap hari, laluan di sepanjang Jalan Perdana Menteri, Jalan Ong Sum Ping dan juga Jalan Kebangsaan dan Jalan Menteri Besar untuk diadakan pada setiap hari Rabu sebelah malam sebagai projek rintis.
“Manakala laluan Bandarku Ceria dengan cadangan rangkaian berbasikal akan diperluaskan.
“Di Daerah Tutong, laluan yang dikenal pasti adalah laluan kawasan Bukit Bendera, manakala di Daerah Belait laluan menuju ‘cargo dam’ dan juga Jalan Labi bermula daripada Biodiversity Centre, Teraja. Manakala di Daerah Temburong adalah laluan Jalan Pekan Bangar,” kata Yang Berhormat.
Pada masa yang sama kata Yang Berhormat, pihak MKKJR telah memperkenalkan Road Safety Action 2030. Inisiatif berkenaan mempunyai lima objektif utama, iaitu mencapai pengurangan 50 peratus jumlah kemalangan jalan raya menjelang 2030, mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus, serta memastikan 80 peratus daripada jalan raya utama mencapai penarafan keselamatan minimum tiga bintang menjelang tahun 2030.
“Untuk makluman, penarafan tiga bintang ini bukan sahaja melihat daripada sudut prasarana jalan raya tetapi juga mengenai dengan ‘driver behaviour’ di laluan-laluan tersebut.
“Seterusnya mengenai dengan kempen-kempen keselamatan yang mana ini akan diteruskan, insyaaAllah, akan dilanjutkan apabila pindaan-pindaan kepada perundangan dan juga untuk membarigakan perkara ini akan diselajurkan juga dengan kempen-kempen keselamatan,” ujar Yang Berhormat lagi.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




