BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 26 Februari. – Negara perlu terus melakukan transformasi dalam meningkatkan produktiviti dan hasil negara merentasi sektor-sektor seperti pertanian, pengangkutan, pendidikan, kesihatan, pelancongan, keselamatan dan Perkhidmatan Awam serta industri-industri baharu dengan mengambil kira kepesatan teknologi.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah agar kita tidak boleh berpuas hati kerana ekonomi negara masih sahaja bergantung kepada minyak dan gas.
Dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menjelaskan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK (bagi sektor bukan minyak dan gas) telah menunjukkan kemajuan yang ketara dari segi purata pertumbuhan sepanjang tempoh 2017 sehingga 2023, iaitu sebanyak 4.3 peratus setahun.
Semasa menyentuh berkaitan dengan kemajuan ekonomi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah bahawa usaha negara ke arah mempelbagaikan ekonomi juga sudah mula menunjukkan hasil yang memberangsangkan.
“Peningkatan ini telah menyumbang kepada peningkatan eksport barangan negara termasuk pengeksportan produk-produk baharu dan juga penembusan ke pasaran baharu seperti ke Chile, Mozambique, Colombia, Peru dan Mexico,” titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Dalam titah, baginda turut menegaskan bahawa antara kemajuan yang dimaksudkan adalah di sektor hiliran minyak dan gas yang telah mengalami peningkatan yang luar biasa, dengan jumlah sumbangan KDNK pada harga tetap meningkat daripada BND136 juta pada 2017 kepada BND1,241 juta pada 2023.
Apa yang jelas titah Kebawah DYMM lagi, ialah penubuhan industri petrokimia telah menghasilkan produk seperti petroleum, methanol, dan urea menjadi pemacu utama.
Dalam titah, baginda juga menjelaskan sektor perkhidmatan juga mencatatkan peningkatan, iaitu daripada BND1,485 juta pada 2017 kepada BND1,721 juta pada 2023, dengan purata peningkatan tahunan sebanyak 2.5 peratus, yang disumbangkan oleh aktiviti-aktiviti perdagangan dan perkhidmatan perniagaan.
“InsyaaAllah, kita akan terus memacu pertumbuhan ekonomi melalui aktiviti perekonomian baharu seperti pengeluaran Petroleum Intermediate Derivatives yang akan menjana aktiviti tambahan dalam sektor hiliran minyak dan gas : menjadikan negara sebagai hab bagi sektor kimia, pembuatan dan makanan, dan meneroka aktiviti peralihan tenaga ke arah persekitaran yang mampan,” titah baginda lagi.
Kebawah DYMM bertitah di peringkat mikro, kerajaan baginda akan terus berusaha dalam menggerakkan lebih banyak lagi aktiviti perekonomian dan pelancongan ke negara ini yang dapat mendatangkan kesan limpahan positif kepada peniaga-peniaga tempatan.
“Menyentuh tentang revolusi teknologi, khususnya Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence, ia membuka peluang baharu yang memerlukan kita untuk terus memperkasa sumber manusia dan keupayaan negara,” titah baginda.
Kebawah DYMM dalam titah menegaskan perjalanan menuju Wawasan Brunei 2035 memerlukan kerjasama, inovasi dan semangat juang yang tinggi dari semua pihak. Oleh yang demikian, setiap cadangan dan idea yang dikemukakan di dewan tersebut adalah bernilai untuk diteliti dengan mengambil kira ’emerging issues’ di peringkat global untuk diambil tindakan oleh pihak-pihak berkepentingan mengikut kesesuaiannya.
Pada akhir titah, baginda sentiasa mengharapkan agar persidangan majlis itu akan terus berunding dengan jujur, berfikiran kreatif dan bertindak strategik ke arah meraih masa depan gemilang negara kita.
(Sumber gambar & berita: Pelita Brunei)




