BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 25 November. – Kementerian Pembangunan hari ini mengadakan Sesi Muzakarah bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang diadakan di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, Berakas.
Mengalu-alukan kehadiran Ahli-ahli MMN ke Sesi Muzakarah ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Sesi Muzakarah bersama Kementerian Pembangunan dihadiri seramai 11 Ahli MMN.
Terdahulu, Sesi Muzakarah berkenaan dimulakan dengan ucapan Yang Berhormat Menteri Pembangunan antara lain menyentuh mengenai beberapa isu penting telah dibangkitkan antaranya berkaitan dengan pembaikan dasar-dasar, penjimatan kos, penyediaan infrastruktur yang lebih cekap di seluruh negara, penyediaan perumahan yang mencukupi dan kos efektif, sokongan bagi pengusaha dan profesional tempatan, usaha ke arah keterjaminan bekalan air serta pembangunan inklusif demi memastikan tidak ada golongan masyarakat yang tertinggal.
Menurut Yang Berhormat Menteri Pembangunan, keutamaan telah dan akan terus ditumpukan kepada perancangan yang mendukung hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memastikan pemedulian dan kesejahteraan rakyat baginda secara Whole of Nation.
Ke arah hala tuju ini, Yang Berhormat turut mengongsikan bahawa Kementerian Pembangunan telah menerbitkan Buku Pelan Strategik Kementerian Pembangunan 2024-2029 baru-baru ini. Buku ini merupakan salah satu ‘milestone’ kementerian dalam memberikan hala tuju bagi tempoh lima tahun mendatang bagi kesinambungan perancangan pembangunan negara akan terus dilaksanakan.
Dalam tempoh lima tahun ini, Kementerian Pembangunan telah menetapkan beberapa Matlamat Strategik Utama demi untuk mencapai tiga visi kementerian iaitu: Kehidupan Berkualiti; Pembangunan Mampan dan Negara Makmur. Dengan matlamat-matlamat ini, Kementerian akan terus komited dalam perancangan dan pelaksanaan rancangan pembangunan negara yang telah ditetapkan bagi memenuhi kehendak masa kini serta mampu bertahan dalam memberikan manfaat untuk generasi seterusnya.
Yang Berhormat turut melahirkan keyakinan bahawa dengan kerjasama dan sokongan semua pihak, kita akan dapat merealisasikan visi, misi dan matlamat yang telah ditetapkan ini demi kemajuan dan kesejahteraan Negara Brunei Darussalam selaras dengan Wawasan Brunei 2035.
Acara kemudiannya diikuti dengan ucapan balas daripada Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau, Daerah Temburong, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir selaku wakil rombongan Ahli-ahli MMN.
Sesi Muzakarah ini adalah dihasratkan untuk dijadikan sebagai satu platform untuk berbincang secara terbuka di antara kedua-dua belah pihak di samping bertukar-tukar pandangan dalam meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan dan program yang diungkayahkan oleh Kementerian Pembangunan ke arah mencapai kesejahteraan rakyat.
Turut hadir semasa Sesi Muzakarah ini ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh; ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




