BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 25 November. – Bengkel Voices of Children bertajuk ‘Memperkasa Kanak-kanak Untuk Turut Serta : Hak Kanak-kanak dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)’ yang diadakan di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) berakhir petang tadi dengan pembentangan resolusi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin.
Bengkel berkenaan dihadiri oleh 60 pelajar dari Tahun 9 dan Tahun 10 daripada sembilan buah sekolah.
Sekolah-sekolah yang terlibat ialah Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan; Mahad Islam Brunei; Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha; Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali; Sekolah Menengah Sayyidina Ali; Sekolah Menengah Sayyidina Hasan; Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Sekolah Menengah Sayyidina Husain Jerudong.
Bengkel berkenaan dipecahkan kepada tujuh kumpulan dengan mengetengahkan, Kumpulan 1 (Good Health and Well-Being) yang mengongsikan beberapa strategi bagi menangani isu kesihatan yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Negara Brunei Darussalam, seperti mengadakan kempen, kumpulan sokongan dan aplikasi; Kumpulan 2 (Gender Equality) mengongsikan mengenai cara untuk menangani isu wanita dengan menggunakan media sosial dan poster serta ceramah di sekolah dan organisasi; dan Kumpulan 3 (Quality Education) mengongsikan mengenai bagaimana untuk menangani kekurangan pendidikan dalam bidang perubatan dengan strategi menggunakan teknik pengajaran yang lebih efisien dan menyediakan pembangunan professional yang berterusan untuk semua pendidik perubatan.
Sementara, Kumpulan 4 (Reduced Inequalities) mengenai strategi yang boleh memberikan hasil yang positif terhadap perubahan tingkah laku kepada masyarakat untuk mencapai matlamat bagi menyokong pengurangan ketidaksamaan; Kumpulan 5 (Climate Action) mengongsikan mengenai kepentingan untuk meningkatkan kesedaran perubahan iklim melalui media sosial dan juga penanaman pokok; Kumpulan 6 (Peace, Justice, and Strong Institutions) memfokuskan untuk mengurangkan terjadinya keganasan di sekolah dan konflik remaja dengan memperbanyakkan jumlah pelatih bagi program pembangunan Masyarakat; dan Kumpulan 7 (Partnerships for the Goals) mengetengahkan kepentingan kolaborasi bersama agensi antarabangsa untuk mempelajari dan memperoleh kemahiran baharu.
Tujuan bengkel berkenaan diadakan adalah untuk mendidik peserta mengenai hak kanak-kanak dan SDG, memberi inspirasi kepada empati, menggalakkan advokasi dan tindakan, memupuk kerjasama dan kreativiti, serta meraikan kejayaan untuk memacu perubahan yang bermakna dalam komuniti.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




