BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 25 Mac. – Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat hari ini mengadakan Majlis Ceramah sempena Sambutan Nuzul Al-Quran, bertempat di Bangunan Dewan Majlis.
Majlis berkenaan bertujuan memperingati peristiwa agung penurunan Al-Quran, di samping penghayatan peristiwa berkenaan sebagai panduan hidup dalam membentuk peribadi yang berakhlak mulia.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib.
Turut hadir ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah.
Ceramah Khas sempena sambutan berkenaan disampaikan oleh Penolong Pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Awang Haji Mohd. Khairul Nazif bin Haji Awang Damit, dengan mengetengahkan tema ‘Akal Sihat Dengan Al-Quran’.
Ceramah berkenaan menekankan kepentingan mendidik diri untuk menjadi umat yang baik melalui penjagaan solat, memperbaiki amalan harian serta meneladani akhlak yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang kesemuanya berpandukan kepada ajaran Al-Quran.




