24.11.24 Semai rasa cinta terhadap Al-Quran

SENGKURONG, Ahad, 24 November. – Persatuan Nurul Islam (PNI) Brunei Muara dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Mukim Sengkurong petang tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bertempat di Masjid Sultan Sharif Ali (MSSA), Kampung Sengkurong.

Majlis tersebut disokong oleh Pusat Da’wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Ahli Jawatankuasa Takmir MSSA.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Mohamed, selaku Ketua Kampung Putat.

Turut hadir, Ketua Bahagian Dakwah selaku Wakil Pengarah PDI, Pengiran Haji Jufri bin Pengiran Haji Hidop, serta pegawai-pegawai PDI, Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung Mukim Sengkurong; Ahli Jawatankuasa Takmir MSSA dan Ahli-ahli PNI Daerah Brunei Muara serta para mualaf.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Berhormat Ahli MMN, disusuli Khatam Al-Quran bermula Surah Ad-Dhuha.

Majlis berkenaan merupakan antara salah satu usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan memperbanyakkan membaca Al-Quran, selain menyemai rasa kecintaan terhadap Al-Quran dan menjadikan bacaan Al-Quran sebagai amalan harian.

Majlis ini diharap akan dapat mengeratkan ukhuwah silaturahim antara para mualaf dan ahli-ahli MPK Mukim Sengkurong serta Ahli Jawatankuasa Takmir MSSA.

Selain itu, ia dapat menarik para mualaf yang bermastautin di Mukim Sengkurong untuk berjinak-jinak ke masjid.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)​

BERITA TERKINI