GENEVA, Jumaat, 24 Oktober. – Semasa Perhimpunan 151st Assembly of the Inter-Parliamentary Union (IPU) di Geneva, Switzerland, Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang diketuai oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib berserta Ahli-ahli MMN turut mengadakan beberapa Mesyuarat Dua Hala secara sampingan bersama rakan-rakan antara parlimen.
Antara mesyuarat berkenaan termasuk dengan Setiausaha Agung IPU, Tuan Yang Terutama Martin Chungong,yang telah mengalu-alukan penyertaan rasmi MMN sebagai ahli ke-183 IPU
Dalam pertemuan berkenaan, kedua-dua pihak membincangkan mengenai usaha untuk memperkukuh penglibatan MMN dalam aktiviti IPU termasuk penyertaan dalam mesyuarat, program serta inisiatif yang berkaitan dengan pembangunan institusi parlimen.
Pertemuan berkenaan turut menzahirkan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan baik dan kerjasama dalam memajukan objektif IPU di peringkat global.
Sementara itu, MMN turut berpeluang mengadakan Mesyuarat Dua Hala bersama delegasi British Group Inter-Parliamentary Union yang terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen House of Commons dan House of Lords, United Kingdom, untuk bertukar pandangan dan memahami dengan lebih dekat mengenai sistem perundangan serta amalan parlimen di kedua-dua buah negara.
Pertemuan berkenaan menjadi wadah untuk memperkukuh persefahaman dan menjalin hubungan berasaskan dialog terbuka dan saling menghormati, di samping menegaskan komitmen terhadap usaha memperluaskan kerjasama antara parlimen yang konstruktif dan berterusan.




