24.04.25 Kepentingan kepimpinan inklusif membina ASEAN berdaya tahan

KUCHING, SARAWAK, Khamis, 24 April. – Mesyuarat Penyelarasan Komiti Parlimen Wanita AIPA atau Coordinating Committee Meeting of Women Parliamentarians of AIPA (WAIPA) telah diadakan pada 22 hingga 24 April 2025 berlangsung di Kuching, Sarawak Malaysia.

Majlis Mesyuarat Negara (MMN) diwakili Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam; dan Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee.

Mesyuarat yang bertemakan ‘Steering Innovation, Inclusivity and Diversity Through Gender – Balanced Parliaments for A Future-Ready ASEAN’ dianjurkan oleh Dewan Perwakilan Rakyat Malaysia dengan objektif bagi menyokong Mesyuarat Komiti WAIPA sewaktu Perhimpunan Agung ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) Ke-46 di Kuala Lumpur pada September 2025 nanti.

Mesyuarat telah dirasmikan oleh Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Turut hadir, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Malaysia, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul, selaku Presiden AIPA.

Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah dalam ucapannya telah menyatakan kepentingan kepimpinan yang inklusif dalam membina ASEAN yang lebih berdaya tahan dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan.

Yang Berhormat juga menekankan bahawa penyertaan penuh wanita adalah keperluan strategik yang akan dapat memacu inovasi, keterangkuman dan kemajuan yang mampan.

Selain itu, Yang Berhormat juga telah mengongsikan bahawa Negara Brunei Darussalam kini mencatat kemajuan ketara dengan wanita membentuk 56 peratus tenaga kerja negara dan 65 peratus daripadanya memegang peranan kepimpinan dan pengurusan atasan, dan seterusnya menyatakan bahawa pencapaian berkenaan lahir daripada akses saksama kepada pendidikan berkualiti serta peluang yang berterusan.

Ahli-ahli MMN juga telah berkesempatan untuk bertukar-tukar pandangan dan amalan terbaik semasa berlangsungnya Sesi Dialog bertajuk ‘Championing Collaborative Efforts on Women’s Political Participation and Leadership’ yang dihadiri oleh perwakilan dari Negara Ahli AIPA dan ahli panel daripada perwakilan dari Kerajaan Negeri Sarawak serta Pertubuhan Wanita Bangsa-bangsa Bersatu (UN Women).

BERITA TERKINI