23.01.25 Yang Di-Pertua MMN terima kunjungan hormat

​BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 23 Januari. – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib hari ini menerima kunjungan hormat daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Malaysia, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul, di Bangunan Dewan Majlis.

Rombongan Parlimen Malaysia berkenaan turut disertai oleh Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar bin Haji Shamsudin; Ahli Parlimen Bangi, Selangor, Yang Berhormat Tuan Syahredzan bin Johan; Ahli Parlimen Gopeng, Perak, Yang Berhormat Tuan Tan Kar Hing; serta pegawai-pegawai Parlimen Malaysia.

Turut hadir dalam kunjungan berkenaan Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah; serta Ahli-ahli MMN, iaitu Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusuf; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Osman; Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam; dan Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir.

Kunjungan hormat berkenaan merupakan sebahagian daripada lawatan rasmi Yang Berhormat Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul ke parlimen-parlimen negara ASEAN, sebagai persediaan Malaysia selaku Pengerusi Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Ke-46 yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada September depan.

Lawatan berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara Negara-negara ASEAN sebagai Ahli AIPA bagi mempererat kerjasama bagi menyokong visi Komuniti ASEAN 2025.

AIPA memainkan peranan penting dalam menyokong dasar-dasar pembangunan serantau ASEAN khususnya bagi memastikan parlimen setiap negara ahli menjalankan peranan sokongan yang berkesan bagi menghubungkan kerajaan dengan rakyat dalam mewujudkan komuniti yang bersatu padu, bersepadu dan bertanggungjawab.

Perbincangan antara kedua-dua pihak turut menyentuh pelbagai isu penting, termasuk usaha untuk memperkukuh kerjasama di bawah AIPA.

Kedua-dua pihak juga membincangkan kepentingan mengukuhkan hubungan antara parlimen melalui pertukaran amalan terbaik, termasuk dalam aspek inovasi dan pendigitalan proses-proses parlimen.

Perbincangan turut menekankan hubungan dengan Ahli Pemerhati AIPA melalui kerjasama yang lebih erat, termasuk meneroka peluang untuk bertukar kepakaran dan pengetahuan untuk memberi manfaat bersama ke arah menyokong agenda serantau.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan isu-isu strategik serantau, termasuk keselamatan ASEAN, pembangunan mampan dan isu-isu kepentingan bersama.

Lawatan berkenaan mencerminkan komitmen bersama terhadap hubungan serta menegaskan kepentingan sinergi antara institusi legislatif ASEAN sebagai Ahli AIPA untuk menghadapi cabaran masa depan.

Di akhir Kunjungan Hormat, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari selaku Pengerusi AIPA telah menyampaikan jemputan rasmi kepada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman untuk menghadiri Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Ke-46 bersama-sama rombongan MMN.

BERITA TERKINI