BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 23 Januari. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan menerima mengadap Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ (Dr) Johari bin Abdul, di Istana Nurul Iman.
Semasa Majlis Mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah merakamkan ucapan tahniah atas kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, serta kepada Yang Berhormat selaku Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) pada tahun ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Yang Berhormat juga telah berbincang mengenai hubungan kerjasama dua hala di antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Malaysia, termasuk kerjasama di antara Majlis Mesyuarat NBD dan Parlimen Malaysia, serta isu-isu serantau dan antarabangsa.
Yang Berhormat serta rombongan berada di negara ini bagi mengadakan Lawatan Kerja selama tiga hari, yang merupakan sebahagian daripada beberapa siri lawatan ke Parlimen-parlimen Negara ASEAN sebagai persiapan Parlimen Malaysia untuk mempengerusikan AIPA pada bulan September nanti.
Lawatan ini juga adalah sebagai usaha untuk memperkukuhkan lagi kerjasama antara institusi legislatif ASEAN, termasuk NBD.
Turut hadir semasa Majlis Mengadap tersebut ialah delegasi Malaysia yang terdiri daripada Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar bin Haji Shamsudin; Ahli Parlimen Malaysia bagi Bangi, Selangor, Yang Berhormat Syahredzan bin Johan; Ahli Parlimen Malaysia bagi Gopeng, Perak, Yang Berhormat Tan Kar Hing; dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke NBD, Puan Nur Ezira Mahadi selaku Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia di NBD.
Juga hadir ialah Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




