Bandar Seri Begawan, Sabtu, 22 November 2025 – Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, pagi tadi menerima kunjungan perpisahan daripada Puan Yang Terutama Ar. Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman, Setiausaha Agung ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) yang akan menamatkan tempoh perkhidmatannya. Majlis diadakan di Bangunan Dewan Majlis.
Perbincangan tertumpu kepada perkembangan kerjasama antara MMN dan Sekretariat AIPA termasuk penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam mesyuarat-mesyuarat AIPA, pelaksanaan inisiatif serantau, serta penyelarasan program yang melibatkan negara-negara anggota. Turut dibincangkan ialah peranan AIPA sebagai landasan penting dalam pembangunan kerjasama antara parlimen negara-negara ASEAN dalam menyokong agenda dan keutamaan ASEAN, termasuk memastikan kesepaduan dasar dan penglibatan antara-parlimen. Yang Berhormat Yang Di-Pertua merakamkan penghargaan atas sumbangan Puan Yang Terutama Setiausaha Agung AIPA sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.
Turut hadir semasa Majlis Kunjungan tersebut ialah Yang Mulia Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah, Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara.




