BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 21 November. – Kementerian Pendidikan melalui Pusat Keusahawanan Inovasi (EIC) hari ini mengadakan Entrepreneurship Innovation Centre (EIC) Showcase bagi Pertandingan Celik-Biz Kali Ke-6 dan Pertandingan BigStart Kali Ke-11 yang diadakan di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee.
EIC Showcase berperanan sebagai platform bagi para pelajar mempamerkan produk dan perkhidmatan inovatif yang telah mereka cipta dan reka melalui Pertandingan Celik-Biz Kali Ke-6 dan Pertandingan BigStart Kali Ke-11 yang berlangsung pada 26 September lalu.
Pertandingan tahun ini membawa tema ‘Inovasi dalam Keusahawanan’ dengan empat sub-tema, iaitu Innovation, Edutainment, Digitalisation, dan Fourth Industrial Revolution (IR 4.0).
Sebanyak 25 kumpulan mendaftar untuk menyertai EIC Showcase, yang dibukakan kepada pelajar Tahun 4 dan Tahun 5 dari sekolah-sekolah rendah serta pelajar Tahun 9 dan Tahun 10 dari sekolah-sekolah menengah dan maktab-maktab kerajaan dan swasta di bawah Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Acara diteruskan lagi dengan perasmian Junior Innovator Catalogue, iaitu Katalog Koleksi Prototaip hasil ciptaan para pelajar daripada Pertandingan Celik-Biz, Pertandingan BigStart dan Jabatan Pendidikan Khas (JPKhas) Bootcamp sejak 2021.
Bagi The Best Booth for Celik-Biz, dimenangi oleh Kumpulan Water Wizards dari Sekolah Rendah Mentiri dengan nama produk ‘WATER Cycle’. Manakala, The Best Booth for BigStart, dimenangi oleh Kumpulan BIJAQ dari Sekolah Menengah Sayyidina Hasan dengan nama produk ‘TechnoBin’.
Sementara, The Best Team yang memperolehi undian tertinggi dimenangi oleh Kumpulan CERADIK dari Sekolah Rendah Pengiran Kesuma Negara Bukit Beruang, Tutong dengan nama produk ‘Aplikasi Lakastah Membaca’.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




