20.07.26 Mesyuarat Kedua Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara

Majlis Mesyuarat Negara memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi Mesyuarat Kedua Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara untuk bermula pada Hari Isnin, 19 Safar 1448H bersamaan dengan 3 Ogos 2026M bertempat di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, Negara Brunei Darussalam.

Mesyuarat Kedua ini akan memberi tumpuan kepada urusan-urusan persidangan termasuk Pertanyaan, Kenyataan Menteri dan Usul-Usul bagi membincangkan pelbagai agenda berkepentingan negara. Mesyuarat ini dijangka meneliti pelbagai perkara berkaitan dasar, tadbir urus dan pembangunan negara selaras dengan keutamaan semasa, ke arah mendukung kemajuan serta kesejahteraan Negara Brunei Darussalam.

Persidangan MMN akan dipengerusikan oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, dan dibantu oleh Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Yang Mulia Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah.

Ahli-Ahli MMN yang terdiri daripada Ahli Rasmi Kerana Jawatan serta Ahli Yang Dilantik daripada kalangan Orang-Orang Yang Bergelar, Orang-Orang Yang Telah Mencapai Kecemerlangan, dan Wakil-Wakil Dari Daerah-Daerah akan bersidang dalam suasana muafakat bagi meneliti perkara-perkara yang dibentangkan di hadapan Dewan. Melalui perbahasan yang tertib dan berhemah, Ahli-Ahli MMN akan menyumbangkan pandangan serta buah fikiran yang konstruktif dalam menimbangkan isu-isu yang berkepentingan kepada rakyat dan negara.

Majlis Mesyuarat Negara (MMN) merupakan institusi perundangan tertinggi negara yang berperanan sebagai wadah perbahasan, penelitian dan pertimbangan terhadap dasar-dasar, perundangan serta perkara-perkara yang berkepentingan kepada negara. Persidangan MMN mencerminkan amalan musyawarah dalam proses pemerintahan negara, di mana pandangan daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran bersama-sama menyokong usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke arah memperkukuh tadbir urus, memajukan pembangunan negara serta mengekalkan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam.

Makluman Umum

(i) Akses Awam ke Persidangan MMN-22

Sesi Persidangan MMN ini dibukakan kepada orang awam yang berminat untuk melihat dan mendengarkan perbahasan dan perbincangan. Orang awam yang berminat dialu-alukan untuk menghadiri dan menyaksikan sesi perbahasan secara langsung di Dewan Persidangan. Perkhidmatan jurubahasa dalam Bahasa Inggeris (translation services in English) juga tersedia dengan permohonan sekurang-kurangnya 24 jam sebelum kehadiran.

(ii) Lawatan Sekolah/Institusi Pendidikan ke Persidangan MMN-22

Institusi pendidikan dijemput untuk membawa penuntut-penuntut sebagai pendedahan mengenai MMN termasuk proses perundangan negara dan perbahasan di dalam Dewan Persidangan MMN. Permohonan lawatan boleh dibuat melalui surat rasmi kepada Urusetia Majlis Mesyuarat Negara sekurang-kurangnya lima (5) hari sebelum tarikh lawatan.

(iii) Saluran Komunikasi

• Rakaman persidangan harian boleh diikuti melalui saluran RTB Perdana dan RTB Sukmaindera pada pukul 9.00 malam bagi rakaman bahagian satu dan diikuti lagi pada pukul 11.00 malam bagi rakaman bahagian dua.

• Dokumen Rasmi persidangan seperti Penyata Rasmi (Hansard), Minit Mesyuarat dan Perintah Harian bolehlah diakses melalui laman sasawang www.majlis-mesyuarat.gov.bn atau www.councils.gov.bn

• Maklumat terkini dan perkembangan persidangan, juga akan diterbitkan dalam Instagram rasmi @legcobrunei

(iv) Peraturan bagi Pelawat/Orang Awam

Pelawat dan orang ramai yang berminat untuk menghadiri Sesi Persidangan adalah dipohonkan untuk mematuhi beberapa peraturan dan garis pandu persidangan khususnya berkenaan dengan kod pakaian dan tatacara memasuki Dewan Persidangan bagi memastikan keselesaan serta kelancaran sepanjang sesi berlangsung, termasuk:

• Kod Pakaian Rasmi – pakaian kemas dan sopan seperti yang dinyatakan dalam peraturan;
• Telefon bimbit perlu diaktifkan kepada mod senyap; dan
• Tidak dibenarkan mengambil gambar atau video tanpa kebenaran.

Bagi sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut bolehlah dikemukakan kepada Urusetia Majlis Mesyuarat Negara:

Alamat:
Urusetia Majlis Mesyuarat Negara
Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat
Jalan Dewan Majlis, BB3910
Negara Brunei Darussalam

Telefon:
+673 2380501

Faks:
+673 2385500

Emel:
majlis.mesyuarat@jmm.gov.bn

BERITA TERKINI