BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 20 Mac. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan telah menetapkan enam program sebagai fungsi utama kementerian dengan objektif masing-masing bagi Belanjawan 2026 / 2027.
Seterusnya, Yang Berhormat turut mempersoalkan mengenai Petunjuk Prestasi Utama dan apakah usaha pihak kementerian merapatkan jurang antara peratus pelajar memperoleh 5 ‘A’ to ‘C’, ‘A’ ke ‘C’ dalam ujian PSR dengan peratus pelajar yang memperoleh sekurang-kurangnya 5 ‘O’ Level dan IGCSE kerana Yang Berhormat melihat apabila kohort pelajar yang memperoleh 5 ‘A’ hingga ‘C’ masuk ke menengah, peratus yang mendapat 5 ‘O’ Level berkurangan.
“Memanglah PSR dan IGCSE berlainan peperiksaan tetapi dapatkah jurang itu diperbaiki. Apakah sebab jurang ini dan bagaimana untuk memastikan pelajar yang cemerlang di PSR akan juga berjaya di IGCSE?” kata Yang Berhormat Ahli MMN pada hari kelapan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, baru-baru ini.
Justeru, menjawab persoalan yang dikemukakan itu, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh berkata bahawa satu pengamatan daripada Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman mengenai dengan nampaknya ada jurang daripada peratus pelajar-pelajar yang mendapat 5 ‘A’ to ‘C’ tetapi sudah dapat 5 ‘O’ Level selepas lima tahun kemudian ataupun empat tahun kemudian, nampak ada penurunan.
“Memang perkara ani sudah di’identify’, memang kita sudah ‘acknowledge’ perkara sedemikian. Sebab ‘atutah’ sebenarnya satu kajian telah dijalankan beberapa tahun yang lalu oleh Jabatan Penyelidikan di Kementerian Pendidikan di mana sebenarnya 5 ‘A’ to ‘C’ atu belum mencukupi sebagai satu ‘percentage’ yang boleh dibawa ataupun supaya ‘kitani’ macam, ‘this is the percentage that we are going to get that 5 years in the future, into the future’,” tambah Yang Berhormat.
Sebenarnya, ujar Yang Berhormat Menteri Pendidikan, kalau ingin melihat ada korelasi antara berapa peratus ‘A’ to ‘C’ dengan 5 ‘O’ Level ‘atu’, lihat kepada 5 ‘A’ to ‘B’ akan nampak korelasinya.
Tambah Yang Berhormat, walaupun keputusan yang dipaparkan hanya menunjukkan peratusan Gred ‘A’ hingga ‘C’, sebenarnya terdapat juga data peratusan pelajar yang memperoleh Gred ‘A’ hingga ‘B’.
Itulah sebenarnya ukuran yang digunakan untuk mengenal pasti pelajar yang, insyaaAllah, berpotensi untuk memperoleh keputusan ‘O’ Level dalam tempoh lima tahun akan datang.
Terdahulu, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi menzahirkan terima kasih kepada Menteri Pendidikan dan mengucapkan tahniah sekali lagi atas kejayaan Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali menaikkan kedudukan masing-masing dalam kedudukan (ranking) universiti dunia.
Yang Berhormat Ahli MMN menghargai usaha-usaha yang telah dibuat oleh Kementerian Pendidikan menaikkan taraf pendidikan berkualiti di negara dan telah banyak menunjukkan kemajuan dalam beberapa bidang.
“Tanggungjawab ini bukanlah satu, ia bukan satu tanggungjawab yang ringan tetapi amat berat dan harus dipikul oleh semua pihak yang berkenaan,” jelas Yang Berhormat Ahli MMN.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




