20.03.26 Pendekatan menyeluruh tangani isu buli

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 20 Mac. – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh berkata bahawa pendekatan menyeluruh sedang dilaksanakan melalui pembangunan rangka kerja dasar pencegahan menangani isu buli dengan melibatkan kerjasama agensi berkepentingan.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan akan berusaha untuk menangani dan mencegah isu buli ini di sekolah yang mana pendekatan menyeluruh sedang dilaksanakan melalui pembangunan rangka kerja dasar pencegahan menangani isu buli dengan melibatkan kerjasama agensi berkepentingan seperti Pasukan Polis Diraja Brunei, Kementerian Kesihatan dan jua Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Rangka kerja ini memberi tumpuan kepada pengukuhan kepada sistem pelaporan, pemantauan, perlindungan pelajar serta pembentukan budaya sekolah yang selamat dan inklusif.

Tambah Yang Berhormat lagi, banyak aktiviti yang dibuat seperti program B.E.S.T ataupun Bantu Empati Sayangi dan Tanggungjawab dan juga program G.I.N.I.S iaitu Galas Insan Nasionalisma Intelektual Stabil yang merangkumi aktiviti kesedaran seperti ceramah dan jua forum.

“Penerapan nilai melalui korikulum Melayu Islam Beraja (MIB) juga membentuk sahsiah pelajar yang seterusnya insyaaAllah dapat membantu untuk mencegah buli bagi memastikan persekitaran sekolah yang lebih selamat, inklusif dan sejahtera,” ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan juga berkata bahawa isu buli di pengajian tinggi memang ada juga terjadi walaupun pada skala yang kecil. Bagi menangani perkara ini, Universiti Brunei Darussalam telah menyediakan Healthy University Roadmap iaitu satu inisiatif dengan Pendekatan Dasar Toleransi Sifar ataupun Zero Tolerance Policy terhadap sebarang bentuk gangguan buli.

Tambah Yang Berhormat, dasar-dasar yang digubal di peringkat IPT sebenarnya adalah selaras dengan piawaian ASEAN yang memberi tumpuan khusus kepada isu gangguan buli, jantina, ketidaksamaan serta aspek kesejahteraan pelajar secara holistik.

Menyentuh mengenai usaha memperkukuh minda keusahawanan yang disuarakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, Penghulu Mukim Bukit Sawat, Yang Berhormat berkata bahawa di peringkat pengajian tinggi ada beberapa aktiviti juga yang telah dilaksanakan.

UBD telah melaksanakan UBD Entrepreneurship Blueprint yang membangunkan ekosistem ‘startup’ pelajar melalui fasa pembangunan idea prototaip sehingga inkubasi.

UBD pula menerapkan elemen keusahawanan melalui projek tahun akhir dan program inkubasi termasuk kejayaan dan mengkomersialkan penyelidikan seperti Syarikat Teknologi AIquatic.

UNISSA pula mewajibkan kursus keusahawanan bagi semua pelajar prasiswazah. Politeknik pun ada juga menganjurkan Entrepreneurship Bootcamp. IBTE menerapkan ‘module basic enterprise skills’ dan mengadakan IBTE Launch Entrepreneurship Challenge.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan bagi menjawab soalan daripada Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman mengenai strategi dan inisiatif Kementerian Pendidikan dalam memperkukuhkan pendidikan keusahawanan agar lebih ramai graduan bukan sahaja menjadi pekerja tetapi juga mencipta peluang pekerjaan selaras dengan usaha mempelbagaikan ekonomi negara pada hari kelapan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, baru-baru ini.

​(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI