BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 20 Mac. – Kementerian Pendidikan mempunyai bilangan tenaga pengajar dan bukan tenaga pengajar yang ramai dalam lingkungan BND12 ribu ke atas dan tanpa mengambil kira perbelanjaan kemajuan sebenarnya sebanyak 71 peratus daripada peruntukan tersebut dibayar untuk membayar gaji tenaga pengajar.
Jelas Yang Berhormat Menteri Pendidikan, Perbelanjaan Berulang-ulang dan daripada 29 peratus tadi, yang diperuntukkan untuk Berulang-Ulang tersebut, 80 peratus adalah digunakan untuk tiga akaun utama.
Demikian dijelaskan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh berkenaan soalan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lau How Teck mengenai peruntukan perbelanjaan BND500 juta bagi Kementerian Pendidikan.
Menurut Yang Berhormat, tiga akaun utama tersebut ialah Pertama : Bantuan Geran, Pemindahan dan Subsidi, Kedua : Perkhidmatan dan Ketiga ialah Penyelenggaraan dan Pembaikan Aset.
Tidak dinafikan sekolah aliran Cina di negara adalah antara sekolah yang awal ditubuhkan dan salah satu daripada sekolah tersebut merupakan sekolah tertua di negara ini. Secara keseluruhannya, terdapat lapan buah sekolah Cina di seluruh negara dengan sekurang-kurangnya sebuah sekolah aliran Cina di setiap daerah.
Alhamdulillah, sekolah-sekolah aliran Cina di negara ini secara konsisten menunjukkan pencapaian yang sangat cemerlang dalam peperiksaan peringkat kebangsaan iaitu Penilaian Sekolah Rendah, PSR dan juga Brunei Cambridge GCE ‘O’ Level.
Walaupun sekolah-sekolah aliran Cina di Negara Brunei Darussalam ini bertaraf swasta, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tetap sahaja memberikan sokongan yang signifikan bagi memastikan kualiti pendidikan selaras dengan matlamat negara.
Jelas Yang Berhormat ada beberapa bentuk sokongan utama yang diberikan, contoh pertama adalah penyediaan guru mata pelajaran teras yang mengajar subjek-subjek seperti Melayu Islam Beraja, Bahasa Melayu dan Pengetahuan Ugama Islam.
Yang kedua adalah pemberian tanah. Ada juga sekolah Cina dibina atas tanah yang dianugerahkan atau disewakan oleh Kerajaan dengan kadar yang sangat rendah untuk tempoh jangka panjang sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan pendidikan Masyarakat.
Yang ketiga adalah bantuan kewangan dan jua elaun pelajar tempatan bagi pelajar yang memegang kad pengenalan kuning, Kerajaan memberikan sokongan secara tidak langsung seperti elaun pelajar.
Yang keempat, penyelaras kurikulum kebangsaan. Sekolah Cina menggunakan Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 yang sama dengan sekolah Kerajaan.
Ini termasuk akses kepada buku teks dan bahan rujukan rasmi penyelarasan format peperiksaan awam iaitu PSR dan jua GCE ‘O’ Level, latihan dan bengkel-bengkel profesional untuk guru-guru dan pemimpin sekolah; dan Yang kelima adalah pengiktirafan dan akreditasi di mana pelajar-pelajar cemerlang yang memohon biasiswa kerajaan, jika memenuhi syarat kerakyatan untuk menyambung belajar ke peringkat ‘A’ Level atau universiti.
“Jadinya memang pelajar-pelajar daripada sekolah Cina ini adalah diiktiraf yang membolehkan mereka untuk memohon biasiswa kerajaan. Dan lepasan sekolah Cina juga ada yang memasuki institusi pengajian tinggi awam seperti UBD, UTB dan UNISSA,” tegas Yang Berhormat lagi.
Bagi segi pengajaran mata pelajaran Bahasa Mandarin di sekolah-sekolah, ia bukan saja dipelajari oleh pelajar-pelajar berbangsa Tionghua tetapi juga pelajar-pelajar bukan berbangsa Tionghua, termasuk pelajar berbangsa Melayu.
Pengajaran Bahasa Mandarin ini tidak terhad di sekolah-sekolah aliran Cina tetapi juga ditawarkan sebagai mata pelajaran elektif di beberapa buah sekolah menengah kerajaan di negara ini bersama dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain yang juga turut ditawarkan.
“Bahasa Mandarin adalah salah satu bahasa asing yang ditawarkan sebagai modul pilihan oleh pusat bahasa bagi pelajar-pelajar UBD juga. Secara ringkasnya, Kementerian Pendidikan akan sentiasa komited memberikan sokongan kepada sekolah-sekolah swasta dan tidak terkecuali sekolah-sekolah Cina”.
Pada akhir persidangan pada hari kelapan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, baru-baru ini, Yang Berhormat Menteri Pendidikan menyatakan akan menjawab soalan-soalan yang tidak terjawab secara bertulis.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




