20.03.25 Terus berusaha ke arah Pendigitalan Perkhidmatan Pengangkutan Darat

​​BANDAR SERI BEG​AWAN, Khamis, 20 Mac. – Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha pada persidangan hari ke-14 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, menjelaskan usaha-usaha kementerian dalam meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan darat.

Mengulas mengenai isu kelewatan dalam pemprosesan lesen memandu seperti yang dibangkitkan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menjelaskan bahawa kelewatan tersebut adalah berikutan sistem sedia ada di Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) yang kini dalam proses penaiktarafan. Sistem itu akan digantikan dengan sistem baharu melalui Projek DriveBN di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 (RKN-12).

Projek DriveBN, jelas Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi lagi, adalah inisiatif Pendigitalan Perkhidmatan Pengangkutan Darat yang melibatkan penggunaan lesen memandu digital dan Digital ID. Melalui projek ini, permohonan perkhidmatan pengangkutan darat akan menjadi lebih mudah, pantas dan mesra pengguna. Selain daripada sistem teknologi baharu, projek ini turut mengambil pendekatan Business Process Improvement yang bertujuan mengemas kini proses kerja JPD agar lebih mesra pelanggan dan efisien.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi turut menjelaskan mengenai pengiktirafan lesen memandu Kelas 3 Negara Brunei Darussalam yang sah digunakan di negara-negara ASEAN, di bawah 1985 Agreement on the Recognition of Domestic Driving License issued by ASEAN Countries. Walau bagaimanapun, pemegang lesen juga disarankan untuk mendapatkan International Driving Permit (IDP) jika ingin memandu di negara-negara yang telah menyertai Convention on Road Traffic 1949, bagi memastikan perjalanan mereka mematuhi undang-undang negara yang dilawati.

Dalam ucapan tersebut, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi turut menasihatkan agar pemandu tempatan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas termasuk had kelajuan serta keperluan insurans semasa memandu di luar negara.​

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI