20.03.25 Peruntukan disediakan biayai operasi, core business kementerian, jabatan

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 20 Mac. – Peruntukan yang disediakan oleh kerajaan bagi setiap kementerian dan jabatan adalah khusus untuk membiayai operasi dan core business kementerian dan jabatan berkenaan.

Sebagai contoh, peruntukan untuk pembaikan jalan raya adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya, manakala bantuan kepada masyarakat yang memerlukan adalah di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah bagi menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat, mengenai peruntukan bagi Ahli-ahli MMN (Yang Dilantik) dalam mewakili daerah-daerah untuk membantu kementerian berkaitan bagi mengatasi masalah yang timbul termasuk kerosakan jalan raya, rumah, dan bantuan asasi lain, semasa Persidangan MMN hari ke-14 di Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21, MMN yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

“Sekiranya berlaku kejadian atau masalah yang tidak dijangkakan dan tidak termasuk dalam peruntukan yang telah ditetapkan untuk sesuatu jabatan, seperti kejadian tanah susur atau kerosakan besar yang memerlukan bantuan segera, agensi yang berkenaan bolehlah memohon peruntukan kepada Kementerian Kewangan dan Ekonomi,” ujar Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.

Di samping itu, peruntukan khas untuk bencana alam juga telah disediakan dan boleh digunakan untuk menangani keadaan darurat yang melibatkan kerosakan besar yang memerlukan tindakan segera.

“Dengan ini, setiap agensi berkaitan mempunyai prosedur-prosedur tertentu untuk memohon peruntukan jika berlakunya keperluan mendesak yang tidak dapat ditangani oleh peruntukan tahunan yang telah ditetapkan. Oleh itu, peruntukan-peruntukan yang telah pun disediakan akan disalurkan dengan mengambil kira keutamaan dan kesesuaian dengan keadaan semasa,” kata Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI