20.03.25 Majikan perlu tawarkan gaji yang berpatutan, berdaya saing

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 20 Mac. – Jabatan Buruh telah melaksanakan pemantauan ke atas pelaksanaan upah minimum Fasa Pertama yang menunjukkan bahawa pekerja tempatan telah memperolehi manfaat dari penguatkuasaan Perintah Upah Minimum.

Para pekerja yang menerima gaji di bawah kadar upah minimum telah diberikan gaji pada kadar yang ditetapkan, dan ada sebilangan daripada mereka telah menerima gaji yang melebihi BND500 sebulan.

Manakala berdasarkan analisa gaji pekerja bagi Fasa Kedua pula, seramai 700 orang dijangka menerima gaji di bawah kadar upah minimum, di mana gaji mereka akan dinaikkan kepada sekurang-kurangnya BND500 sebulan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) hari ke-14 di Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21, MMN yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini bagi menjawab persoalan Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim mengenai manfaat gaji minimum.

Walau bagaimanapun, kata Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, impak sebenar hanya akan diketahui setelah penguatkuasaan Jabatan Buruh di mana syarikat-syarikat terlibat akan menghadapkan declaration form dan salinan perjanjian pekerjaan mereka kepada jabatan tersebut.

“Di kesempatan ini, kaola ingin menekankan bahawa upah minimum ini adalah gaji asas dan bukanlah bertujuan untuk digunakan sebagai asas gaji kompetitif.

Selain itu, tujuannya juga adalah bagi menangani isu kadar labour turnover yang tinggi.

Oleh itu, kaola ingin menyeru para majikan dan pengusaha untuk menawarkan pakej gaji yang bukan saja berpatutan, namun juga berdaya saing sebagai daya tarikan untuk menarik dan mengekalkan bakat yang berkemahiran di sektor swasta,” kata Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.

Kajian Employer-Based Survey (EBS) turut mendapati bahawa lebih daripada 35 peratus majikan yang menghadapi cabaran local employee retention adalah disebabkan oleh pekerja yang berhenti tanpa notis.

Oleh itu, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II menyeru para pekerja dan pencari kerja untuk mengamalkan etika serta tatacara bekerja yang profesional termasuk menjalinkan komunikasi yang telus dengan majikan agar dapat memelihara reputasi dan integriti pekerja dalam industri, dan sekali gus memberi manfaat kepada peluang kerjaya pada masa hadapan.

Daripada sudut peluang perkembangan kerjaya di sektor swasta pula, jelas Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Salary Guideline Edisi 2023 telah disediakan sebagai garis panduan gaji untuk membantu syarikat swasta dalam menentukan gaji dan aliran kerjaya yang lebih kompetitif di sektor swasta.

“Usaha garis panduan ini juga diperkukuhkan lagi dengan adanya rangka kerja kompetensi, seperti Brunei ICT Industry Competency Framework (BIICF) bagi industri ICT di NBD, yang membolehkan perkembangan kerjaya secara berstruktur dan diharap akan menggalakkan anak-anak tempatan untuk memilih pekerjaan dan membina kerjaya di sektor swasta.

Daripada segi menimba pengetahuan dan kemahiran yang bermakna, majikan dan pekerja di sektor swasta bolehlah memanfaatkan program upskilling dan reskilling melalui kursus-kursus pendek di bawah Program SkillsPlus, Program SPIN dalam Bidang Perakaunan, dan HSE Competency Apprenticeship Program yang dianjurkan oleh Pusat Pekerjaan Brunei.

Dalam hubungan ini, kaola ingin menyeru semua pihak termasuk pencari kerja, majikan dan pekerja di sektor swasta, untuk merebut peluang ini bagi meningkatkan kemahiran dan keupayaan diri masing-masing melalui program-program yang disediakan,” kata Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.

Sokongan daripada pelbagai pihak juga amat diperlukan dalam mengongsikan inisiatif-inisiatif yang disediakan untuk membantu meningkatkan jumlah penyertaan dan seterusnya memberi impak yang lebih meluas kepada golongan sasaran yang ditetapkan.

Terdahulu, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II menerangkan, pihak kerajaan telah memperkenalkan Perintah Pekerjaan (Upah Minima) 2025 sebagai salah satu usaha untuk memastikan pekerja-pekerja di sektor swasta menerima pendapatan yang berpatutan dan menggalakkan amalan pekerjaan yang adil (fair employment practices).

Perintah ini meliputi tujuh industri yang telah dikenal pasti iaitu Perbankan dan Kewangan; Teknologi Info-Komunikasi, Sekuriti, Pelancongan dan Penginapan; Arkitek, Kejuruteraan Profesional, Ukur Bahan dan Ukur Tanah; Perubatan dan Pergigian; dan Pendidikan Tinggi Swasta.

“InsyaaAllah, Perintah Pekerjaan (Upah Minimum) ini akan dilaratkan kepada sektor-sektor lain pada masa akan datang,” kata Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI