BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 20 Mac. – Kementerian Pembangunan akan meneliti cadangan bagi pelaksanaan Sistem Penjejakan Digital permohonan perumahan awam yang berpotensi dalam memberikan pelbagai manfaat.
Antara manfaat sistem tersebut adalah peningkatan ketelusan proses permohonan dan pemohon dapat menyemak status permohonan mereka pada bila-bila masa secara online.
Sistem berkenaan juga akan meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerana pemohon tidak perlu lagi berulang-alik ke kaunter Jabatan Kemajuan Perumahan (JKP) bagi mendapatkan status terkini.
Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid berkata demikian semasa mengulas soalan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee pada persidangan hari ke-14 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Pada masa ini, jelas Yang Berhormat Menteri Pembangunan, pihak kementerian melalui JKP hanya menyediakan kemudahan sistem dalam talian bagi urusan pembayaran sahaja iaitu melalui one common billing system.
“Proses lain berkaitan permohonan perumahan awam termasuk penyemakan status permohonan dan mendapatkan sebarang maklumat yang dikemas kini masih dijalankan secara fizikal. Kaunter bahagian pengurusan permohonan di JKP dibukakan kepada para pemohon untuk menyemak status permohonan atau mengemas kini maklumat mereka,” kata Yang Berhormat.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




