20.03.25 Jumlah penerima Pencen Umur Tua meningkat 45 peratus

​BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 20 Mac. – Jumlah penerima Pencen Umur Tua yang menerima pembayaran melalui bank meningkat kepada 19,907 orang atau 45 peratus daripada jumlah keseluruhan 44,405 penerima setakat Februari 2025, berbanding 10 peratus pada tahun 2020 semasa kaedah pembayaran tersebut diperkenalkan.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad menyatakan perkara itu semasa menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, Ketua Kampung Subok, mengenai kaedah pembayaran Pencen Umur Tua.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan berkata, pihak kementerian telah menjalankan kaji selidik tatacara pembayaran Pencen Umur Tua pada 25 Oktober 2022.

Hasil kajian mendapati bahawa sebanyak 72 peratus iaitu 782 orang penerima daripada 1,088 responden kepada kaji selidik berkenaan, lebih cenderung untuk menerima pembayaran secara tunai di rumah ketua kampung dan bukannya melalui bank.

Antara cabaran utama yang dikenal pasti, jelas Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, adalah kesukaran akses kepada bank akibat ketiadaan kenderaan atau kesukaran mendapatkan tempat letak kereta.

Cabaran seterusnya adalah tidak mempunyai akaun bank atau kekurangan wang pendahuluan iaitu deposit atau jumlah minimum yang diperlukan untuk membuka akaun.

Selain itu, penerima lebih selesa menerima bayaran di rumah ketua kampung kerana dapat berinteraksi dengan rakan-rakan sebaya, di samping masalah kesihatan termasuk faktor usia dan keadaan fizikal yang membataskan pergerakan penerima.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menambah, terdapat juga penerima kurang celik digital terutama dalam penggunaan perkhidmatan perbankan dan transaksi dalam talian.

Di samping itu, kaedah pembayaran melalui ketua kampung memberikan manfaat tambahan. Penghulu dan Ketua Kampung dapat memantau kemaslahatan anak buah kampung mereka.

Jelas Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, pihak kerajaan memahami cabaran yang dihadapi oleh warga emas dalam beralih kepada sistem pembayaran digital dan setentunya akan memastikan pendekatan secara inklusif serta langkah-langkah sokongan yang bersesuaian dilaksanakan sebelum sebarang perubahan dibuat.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI