BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 20 Mac. – Mewujudkan suasana kerja yang lebih baik, menawarkan gaji, elaun serta faedah yang lebih kompetitif; dan menghargai sumbangan pekerja masing-masing merupakan antara langkah yang telah dilaksanakan oleh syarikat swasta dalam menangani isu pusing ganti buruh atau labour turnover.
Langkah tersebut sangat dialu-alukan bagi menarik dan mengekalkan anak-anak tempatan di sesebuah pekerjaan memandangkan perkara berkenaan bukanlah untuk ditangani oleh pihak kerajaan sahaja tetapi memerlukan usaha sama daripada kesemua pihak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah mengongsikan perkara itu bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim mengenai langkah pihak Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC) serta pihak berkepentingan untuk menangani labour turnover yang tinggi di sektor swasta, semasa Persidangan MMN hari ke-14 di Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21, MMN yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II berkata, isu labour turnover sememangnya lumrah di dalam pasaran kerja yang dinamik dan kompetitif, sama ada di negara lain mahupun di Negara Brunei Darussalam (NBD).
“Pekerja wajar akan bertukar tempat kerja jika ditawarkan kemudahan dan faedah (benefits) yang lebih menarik, tempat kerja yang lebih kondusif dan sebagainya. Walau bagaimanapun, labour turnover mungkin memberi cabaran tertentu kepada operasi perniagaan para syarikat di sektor swasta,” ujar Yang Berhormat.
Pada tahun 2024, Jabatan Perdana Menteri melalui MPEC telah mengendalikan satu kajian Employer-Based Survey (EBS) yang bertujuan untuk mengetahui pengalaman dan cabaran yang dihadapi oleh para majikan di sektor swasta dengan pengambilan pekerja baharu dan local employee retention.
Lebih 500 buah syarikat telah memberi maklum balas, di mana lebih 60 peratus majikan menghadapi cabaran dalam mengekalkan pekerja tempatan (local employee retention).
“Mereka menyuarakan bahawa pekerja tempatan lazimnya beralih kepada pekerjaan baharu disebabkan oleh peluang pekerjaan yang ditawarkan adalah lebih baik, sama ada daripada segi gaji mahupun peluang perkembangan kerjaya,” kata Yang Berhormat.
Hasil dapatan adalah serupa dengan kaji selidik sebab-sebab berpindah kerja atau job-hopping dalam kalangan pencari kerja.
Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II juga mengongsikan beberapa kemungkinan alasan positif berlakunya job-hopping iaitu apabila pekerja berkeinginan untuk meningkatkan taraf pekerjaan apabila majikan sedia ada tidak dapat menawarkan peluang kemajuan selanjutnya.
Oleh itu, pekerja cenderung mencari peluang untuk beralih ke jawatan yang lebih tinggi, pekerjaan yang lebih berkualiti, atau pekerjaan yang dapat menawarkan prospek kemajuan yang lebih baik pada masa hadapan.
Job-hopping juga akan lebih kerap berlaku seiring dengan perkembangan dan diversifikasi ekonomi negara, yang secara beransur-ansur akan mewujudkan pasaran buruh yang lebih kompetitif serta sengit, dan seterusnya menyumbang kepada kos pengambilan pekerja yang lebih tinggi.
“Oleh yang demikian, sokongan berterusan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat dalam sama-sama membarigakan perkara ini akan dapat membantu pihak kerajaan menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran dan memperkukuh daya saing sektor swasta seiring dengan perkembangan ekonomi,” ujar Yang Berhormat.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




