20.03.25 BEDB sentiasa pantau, pastikan penggunaan tanah perindustrian optimum

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 20 Mac. – Pihak kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) akan sentiasa bersedia untuk menambah tapak baharu perindustrian dengan prasarana asas jika permintaan dijangka meningkat dari semasa ke semasa.

Kerajaan telah bersedia dan akan mewartakan beberapa tanah-tanah perindustrian tambahan untuk dimajukan di Daerah Tutong dan Daerah Temburong jika ada permintaan tambahan nanti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah menjelaskan perkara itu bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee mengenai kadar penghuni tapak industri di negara ini di bawah kawal selia BEDB, khususnya di Daerah Tutong dan Temburong semasa Persidangan MMN hari ke-14 di Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21, MMN yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Antara tapak-tapak yang telah dikenal pasti termasuk Kampung Bukit Pasir, Zon 1 seluas 500 hektar; Kampung Bukit Pasir, Zon 2, 98 hektar; Kampung Bukit Beruang, 10 hektar; dan Kampung Labu Estate, 4 hektar.

Yang Berhormat Menteri Kewangan dan Ekonomi II menerangkan, pihak BEDB sentiasa memantau dan mengurus kadar penghunian tapak industri sedia ada bagi memastikan penggunaan tanah perindustrian yang optimum serta menyokong pertumbuhan sektor perniagaan dan pelaburan di negara ini.

Setakat ini, kadar penghuni bagi tapak-tapak perindustrian di bawah kawalan BEDB adalah sekitar 61 peratus secara keseluruhannya.

Terdapat beberapa lot tapak yang telah diperuntukkan bagi pelaburan baharu terutama dalam sektor pembuatan, logistik, dan perkhidmatan.

Di samping itu, tambah Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, kompleks Ready-Built Factories (RBF) yang dibina khusus untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan turut mencatat kadar penghunian yang memberangsangkan iaitu sekitar 81 peratus.

Ini menunjukkan perkembangan yang positif dalam kalangan PMKS tempatan terhadap kemudahan sedia ada.

Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II turut menerangkan mengenai perkembangan terkini kadar penghuni tapak industri sedia ada di Daerah Tutong dan Temburong.

Bagi Daerah Tutong, Tapak Serambangun Industrial Park mempunyai kadar penghuni sebanyak 75 peratus, manakala Tapak Perindustrian Bukit Panggal pada masa ini masih belum berpenghuni namun usaha sedang giat dilaksanakan untuk diiklankan kepada pengusaha.

Bagi tapak perindustrian di Daerah Temburong pula, Tapak Perindustrian Batu Apoi setakat ini mempunyai kadar penghuni sebanyak tujuh peratus; manakala Tapak Komersial dan Perindustrian Labu Square A sedang dimajukan dengan prasarana serta kemudahan seperti bilik sembahyang dan tandas awam. Ia dijangka siap pada suku kedua tahun ini.

“Berdasarkan kepada statistik yang kaola kongsikan tadi, memandangkan kadar penghuni di tapak perindustrian adalah masih dikira rendah di kedua-dua daerah ini, maka tiada keperluan untuk menambah tapak perindustrian buat masa ini,” terang Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI