20.01.26 Tingkat keluaran pertanian, agrimakanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JAN – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah mengadakan sesi muzakarah bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, hari ini.

Hadir pada sesi muzakarah berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Seramai 16 orang ahli MMN yang diketuai oleh Yang Berhormat Awang Mohamad Ali bin Tanjong, menghadiri sesi muzakarah berkenaan.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap I, Haji Mohd Yusree bin Haji Junaidi, pengarah-pengarah jabatan dan ketua-ketua bahagian serta pegawai-pegawai kanan KSSUP dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sesi muzakarah dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf, yang antara lain mengongsikan inisiatif, hala tuju strategik dan fokus utama dalam meningkatkan keluaran industri sumber-sumber utama dan memajukan industri pelancongan serta pencapaian dan sasaran keluaran sektor KSSUP.

Sesi muzakarah diteruskan dengan taklimat mengenai Pencapaian dan Perkembangan bagi tahun 2025 dan Hala Tuju Sektor Sumber-sumber Utama dan Pelancongan yang disampaikan oleh Haji Mohd Yusree dan diikuti dengan sesi perbincangan dan soal jawab.

Haji Mohd Yusree mengongsi bahawa fokus utama kementerian adalah bagi mendukung pertumbuhan dan peningkatan keluaran sektor makanan, kemajuan industri pelancongan; serta pembangunan dan pemuliharaan sumber hutan.

Pada 2025, tahap sara diri bagi komoditi tumpuan dalam sektor makanan menunjukkan pencapaian yang pelbagai. Bekalan telur ayam telah melebihi keperluan domestik dengan 112 peratus, manakala ayam pedaging mencapai 100 peratus.

Tahap sara diri bagi daging kerbau dan lembu adalah sekitar 1.6 peratus dan bekalan beras yang masih bergantung kepada import dengan hanya 8.5 peratus daripada pengeluaran tempatan.

Sayur-sayuran tropika mencatatkan 78 peratus dan buah-buahan tropika 43 peratus, sementara bekalan ikan dan udang telah mencapai sekitar 63 peratus.

Sehubungan itu, pihak kementerian akan terus memperkukuh kerjasama dengan pihak berkepentingan bagi meningkatkan tahap sara diri makanan negara, khususnya sayur-sayuran, buah-buahan tropika dan industri padi serta mempelbagaikan sumber import bagi menjamin sekuriti makanan yang mampan.

Pelbagai strategi dan inisiatif telah dikongsikan untuk memperkukuh ekosistem rantaian nilai industri makanan yang meliputi fasa daripada mendapatkan bahan input, pengeluaran hingga akses pasaran.

Ini termasuk inisiatif dan program yang bertujuan untuk meningkatkan serta mengukuhkan sekuriti makanan, di samping mempromosikan ekonomi kitaran ke arah kelestarian alam sekitar melalui penerapan konsep Pertanian Regeneratif.

Usaha untuk meningkatkan dan memperkukuh industri agrimakanan sedang giat dilaksanakan melalui pelbagai program seperti Product Enhancement serta Program Peningkatan Kapasiti yang bertujuan untuk memudahkan pengusaha dalam memperluas perniagaan mereka ke pasar raya utama serta meneroka peluang pasaran eksport.

KSSUP juga mendukung usaha kemajuan dan pembangunan industri pelancongan melalui pengukuhan promosi dan pemasaran, pembangunan produk dan infrastruktur pelancongan, peningkatan kualiti perkhidmatan serta pembangunan kapasiti tenaga kerja, di samping memperkukuh kesalinghubungan dan kerjasama strategik bagi meningkatkan daya saing serta sumbangan sektor pelancongan kepada sosioekonomi negara.

Pihak kementerian melalui Jabatan Perhutanan akan terus melaksanakan usaha-usaha pemuliharaan dan pembangunan sumber hutan secara mampan melalui pengukuhan dasar biodiversiti, pemulihan dan penghijauan hutan, pengurusan konflik manusia dan hidupan liar serta penggunaan teknologi dan data saintifik bagi pengurusan hutan lestari.

Di samping itu, Jabatan Perhutanan turut memacu pembangunan industri perkayuan bernilai tambah, meneroka inisiatif perdagangan karbon dan menyokong pelancongan berasaskan alam semula jadi bagi meningkatkan sumbangan sektor perhutanan kepada ekonomi negara.

KSSUP akan terus berusaha secara bersepadu dan menyeluruh untuk mempelbagaikan serta meningkatkan keluaran sektor pertanian dan agrimakanan serta perikanan melalui pengukuhan dasar dan perancangan strategik, peningkatan produktiviti dan nilai tambah, pembangunan kapasiti sumber manusia, pemerkasaan rantaian nilai, peluasan akses pasaran termasuk eksport serta penerapan prinsip kelestarian dan inovasi bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan.

(sumber berita & gambar: Media Permata)

BERITA TERKINI