MALAYSIA, Jumaat, 19 September. – Majlis Mesyuarat Negara (MMN) menghadiri Perhimpunan Agung ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) Ke-46 dihoskan oleh Parlimen Malaysia pada 16 hingga 22 September 2025, bertempat di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur, Malaysia.
Sempena perhimpunan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar Titah Perutusan bagi Perhimpunan Agung AIPA Ke-46.
Dalam titah perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menekankan akan kepentingan tema perhimpunan tahun ini, ‘Parliament at the Forefront for Inclusive Growth and Sustainable ASEAN’ amat bertepatan dalam mencerminkan aspirasi bersama dan peranan penting parlimen dalam menentukan hala tuju masa depan ASEAN.
Baginda turut menegaskan kepentingan menyelaras dasar serta memupuk keterangkuman agar ASEAN dapat mempercepatkan kemajuan ke arah kelestarian dengan memastikan tiada pihak yang terpinggir.
Baginda turut menekankan bahawa parlimen memainkan peranan penting dalam menggubal dasar dan undang-undang yang mendorong kemajuan sosial, keadilan ekonomi dan kelestarian alam sekitar, di samping memperkukuh diplomasi antara parlimen untuk mendalami kerjasama dan keyakinan serantau.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya menzahirkan keyakinan bahawa AIPA akan terus menjadi tonggak penting dalam ASEAN, dengan parlimen memainkan peranan penting dalam membentuk sebuah rantau ASEAN yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang.
Rombongan Negara Brunei Darussalam (NBD) diketuai oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib dan disertai oleh 12 Ahli MMN.
Hadir sama, Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah serta pegawai-pegawai dari Urus Setia MMN.
Majlis Perasmian Perhimpunan Agung AIPA Ke-46 telah berlangsung pada 18 September 2025 dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim.
Dalam ucapan perasmiannya, Yang Amat Berhormat menekankan peranan parlimen sebagai institusi yang menjamin akauntabiliti serta menyuarakan aspirasi rakyat.
Yang Amat Berhormat turut menekankan kepentingan memastikan penyertaan semua lapisan masyarakat termasuk belia, wanita, komuniti luar bandar dan golongan terpinggir, di samping mengekalkan integriti dan tadbir urus yang telus.
Yang Amat Berhormat menyeru agar AIPA memainkan peranan lebih aktif melalui program dan inisiatif yang memberi manfaat nyata kepada rakyat, serta menekankan bahawa sentraliti ASEAN perlu terus dipelihara dengan menolak rasuah, mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.
Yang Di-Pertua Dewan Perwakilan Rakyat Malaysia, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul juga selaku Presiden AIPA di dalam ucaptamanya menegaskan peranan parlimen dalam menyokong integrasi ASEAN melalui proses semakan dan penggubalan undang-undang.
Yang Berhormat menekankan bahawa legitimasi parlimen bergantung pada kemampuan menyuarakan aspirasi rakyat dengan memastikan undang-undang berasaskan prinsip keadilan, keterangkuman dan tadbir urus yang telus.
Presiden AIPA juga menekankan bahawa kepimpinan parlimen juga bagi membina jambatan untuk keamanan, kestabilan dan kemajuan inklusif di rantau ini.
Menjelang Wawasan Komuniti ASEAN 2045, Yang Berhormat menyeru pengukuhan hubungan AIPA dengan institusi ASEAN dan rakan luar serta memperluaskan penglibatan belia dan wanita dalam peranan parlimen.
Dalam Kenyataan Negara pada Sidang Plenari Pertama, Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN menekankan bahawa parlimen sebagai suara rakyat memainkan peranan penting dalam menyokong hala tuju ASEAN melalui fungsi perundangan, pengawasan dan keterwakilan, termasuk bagi memastikan pertumbuhan serantau kekal inklusif dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat khususnya golongan rentan.
Yang Berhormat menegaskan bahawa pertumbuhan mampan perlu merangkumi aspek pembangunan ekonomi, penjagaan alam sekitar, keharmonian sosial dan tadbir urus yang baik.
Yang Berhormat turut menekankan kepentingan menyediakan peluang yang lebih luas kepada belia, wanita, Orang Kelainan Upaya dan komuniti terpinggir untuk terlibat dalam proses pembangunan.
Yang Berhormat mengalu-alukan bahawa Perhimpunan Agung AIPA Ke-46 membincangkan isu-isu berkepentingan besar kepada pembangunan Komuniti ASEAN termasuk pemerkasaan wanita dan belia, perubahan iklim, keterangkuman digital dan pertumbuhan ekonomi inklusif yang menjadi bidang keutamaan NBD dan akan terus didukung bersama dengan parlimen Ahli AIPA serta rakan-rakan ke arah pencapaian sebuah ASEAN yang lebih inklusif, aman dan makmur.
Terdahulu, beberapa acara telah diadakan termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, Forum Politik Ahli Parlimen Wanita (WAIPA), AIPA-ASEAN Hearing dan Sesi Perbincangan Ahli Parlimen Muda (YPA).
Perhimpunan Agung pada hari-hari berikutnya diteruskan dengan mesyuarat-mesyuarat jawatankuasa, sesi dialog dan sesi plenari, sebelum dirumuskan melalui Joint Communique pada penutup persidangan nanti.




