BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 19 April. – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib menerima kunjungan hormat daripada Ahli Majlis Kebangsaan dan Pengerusi Delegasi Parlimen Switzerland ke Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) dan Kesatuan Eropah (EU), Yang Berhormat Thomas Aeschi.
Rombongan Parlimen Switzerland turut disertai oleh Duta Besar Switzerland ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Frank Grütter dan Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Switzerland di Republik Singapura, Dr. Regula Kurzbein.
Perbincangan antara kedua-dua pihak menyentuh isu-isu yang mencerminkan keprihatinan dan kepentingan bersama, termasuk peranan institusi perundangan serta peluang kerjasama antara kedua-dua pihak dalam pelbagai bidang.
Perjumpaan ini turut membuka ruang bagi kedua-dua pihak untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam memperkukuh hubungan antara parlimen secara lebih meluas.
Turut hadir dalam majlis yang diadakan di Bangunan Dewan Majlis itu ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Awang Haji Ibrahim dan Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin.
Rombongan juga berpeluang untuk melawat ke Dewan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara bagi memahami dengan lebih lanjut suasana dan tatacara persidangan yang dijalankan di institusi perundangan negara ini.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




