BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan Di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini, berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Universiti Teknologi Brunei yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Sambutan berkenaan menandakan empat dekad perkembangan berterusan, transformasi institusi serta sumbangan signifikan UTB kepada pembangunan pendidikan tinggi dan kemajuan teknologi Negara Brunei Darussalam.
UTB ditubuhkan bukan sekadar sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, tetapi lahir sebagai respons nasional terhadap keperluan sistem pendidikan yang selaras dengan keutamaan pasca-kemerdekaan Negara Brunei Darussalam, dengan melangkaui kerangka pendidikan era kolonial ke arah pembangunan negara yang mampan dan berdikari.
Ditubuhkan pada1986, UTB telah berkembang daripada sebuah institusi teknikal kepada sebuah universiti teknologi terkemuka yang lengkap, serta memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan bersedia industri, di samping menyokong aspirasi negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan dan dipacu inovasi.
Sepanjang empat dekad yang lalu, UTB kekal teguh dalam misinya untuk mengintegrasikan pendidikan, penyelidikan, inovasi dan kerjasama industri, selaras dengan keutamaan pembangunan negara.
Dalam ucapan alu-aluan oleh Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Pelancaran Rasmi Sambutan Ulang Tahun Ke-40 UTB, menyorot perjalanan UTB sepanjang empat dekad, termasuk perkembangan program akademik, keupayaan penyelidikan serta kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, industri dan institusi antarabangsa.
Beliau turut menegaskan komitmen UTB dalam melahirkan graduan yang mempunyai kepakaran teknikal yang kukuh, nilai etika yang tinggi serta perspektif global.
Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota seterusnya berkenan menyampaikan sabda perasmian dan merasmikan secara rasmi Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Universiti Teknologi Brunei.
Majlis kemudiannya diserikan dengan tayangan video khas sambutan yang memaparkan refleksi daripada bekas dan naib canselor semasa serta menteri-menteri, yang menggambarkan pencapaian, mercu tanda dan pembangunan institusi UTB sepanjang penubuhannya.
Majlis diteruskan dengan penyampaian Anugerah Khas Ulang Tahun Ke-40, sebagai penghargaan kepada individu-individu yang telah memberikan sumbangan dan khidmat bakti yang signifikan kepada pembangunan dan legasi UTB. Anugerah-anugerah yang disampaikan pada majlis berkenaan ialah Anugerah Jasawan, Anugerah Kerja Lama, Anugerah Kakitangan Luar Biasa dan juga Anugerah Pemenang Rekaan Logo Ulang Tahun Ke-40.
Bersempena dengan sambutan itu juga, Wakaf Mushaf UTB telah dilancarkan secara rasmi, mencerminkan pendekatan holistik UTB dalam pendidikan yang menyeimbangkan kecemerlangan akademik dengan nilai kerohanian dan tanggungjawab sosial.
Majlis turut menampilkan Pameran 4 Dekad, yang mengisahkan perjalanan transformasi dan sumbangan UTB sepanjang 40 tahun penubuhannya. Pameran ini menonjolkan pencapaian utama, perkembangan institusi serta peranan UTB dalam landskap teknikal dan teknologi Negara Brunei Darussalam.
DYTM Pengiran Muda Mahkota turut berkenaan menyempurnakan pelancaran buku kenang-kenangan bertajuk, The First 40 Years: Enlivening Legacy, Empowering Innovation di mana buku itu merakam perjalanan institusi UTB, kepimpinan serta sumbangannya kepada pembangunan negara melalui pendidikan, penyelidikan dan inovasi.
Pelancaran sambutan ulang tahun tersebut menandakan bermulanya rangkaian program sambutan dan akademik sepanjang tahun, selaras dengan usaha berterusan universiti untuk memperkukuhkan peranannya sebagai institusi teknologi kebangsaan yang komited terhadap kecemerlangan dalam pendidikan tinggi, penyelidikan dan inovasi.
(sumber berita & gambar: Media Permata)




