BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 18 Mac. – Inisiatif kementerian dalam usaha mendedahkan pengusaha dan peladang di negara ini agar lebih peka dengan sistem yang mendukung ke arah peladangan yang bersesuaian dan berteknologi bagi meningkatkan hasil keluaran dengan lebih berkesan dan menguntungkan.
Kementerian telah berusaha mengikut keperluan semasa untuk mengadakan latihan kursus dan memberikan teknologi baharu yang bersesuaian mengikut program-program berikut.
”Program-program ani nada limited kepada shortlisted farmers, ini kepada semua farmers yang berminat dan juga bukan sahaja farmers kepada prospective farmers, orang-orang baru yang berminat,” jelas Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin menyambut baik cadangan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, yang juga Penghulu Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait mengenai perkara-perkara yang dibangkitkan mengenai Program Pemindahan Teknologi pada hari ke-13 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
”Jadi programnya ialah seperti program pengenalan teknologi pertanian yang mana akan diungkayahkan semasa ekspo-ekspo dan juga roadshow dan juga kadang-kadang dibuat semasa di Pasar Kitani, untuk membolehkan siapa – siapa sahaja yang berminat untuk berkecimpung dalam teknologi farming untuk mengetahui dan lebih mendalami lagi pengetahuan berkenaan dengan teknologi pertanian.
”Di samping atu jua, ada program pendedahan belia yang memfokuskan pendedahan belia kepada penggunaan teknologi bersesuaian bagi sistem daripada sistem konvensional. Yang ketiga ialah program Regenerative Agriculture iaitu pendekatan holistik yang membolehkan dan meningkatkan kesihatan tanah, biodiversiti dan ekosistem termasuk penggunan bahan organik dan amalan-amalan pertanian yang memastikan hasil pertanian lestari,” ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya berkata mengenai dengan usaha memperkasakan penanaman padi dalam kalangan petani tempatan, terdapat beberapa program dan inisiatif dilaksanakan iaitu melaksanakan usaha-usaha penyelidikan bagi mengenal pasti varieti baharu berhasil tinggi dan mempunyai ketahanan terhadap musuh perosak tanaman.
”Berkenaan soalan, hasil yang dijual untuk kerajaan, kepada kerajaan, pada masa ini, kebanyakan peladang padi yang berdaftar sememangnya boleh menjual padi mereka kepada pihak kerajaan melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.
Setakat ini terdapat sembilan varieti yang telah diterima di bawah Skim Bantuan Harga Padi dan varieti yang terkini yang diterima adalah termasuk Padi BDR5, Sembada188 dan Yuan158,” ujar Yang Berhormat lagi.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




