17.10.24 Tinjau lebih dekat destinasi pelancongan negara

​​TUTONG, Khamis, 17 Oktober. – Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) hari ini mengadakan lawatan ke beberapa lokasi pelancongan di Daerah Tutong, iaitu sebagai lanjutan daripada siri lawatan pertama yang diadakan pada 9 Oktober 2024 lalu.

Siri lawatan kedua berkenaan bertujuan bagi menyampaikan misi untuk mengangkat Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai destinasi pelancongan utama bagi memelihara warisan budaya dan semula jadi, selaras dengan prinsip-prinsip kelestarian, di samping membudayakan sektor pelancongan yang menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sosioekonomi negara.

Turut menyertai lawatan berkenaan, Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap serta pegawai-pegawai kanan dari KSSUP.

Lokasi pertama yang dilawati adalah Kompleks Pasaraneka dan Tamu Tutong yang lebih dikenali sebagai ‘Tamu Tutong’. Tamu ini hanya diadakan pada setiap Khamis dan dibuka seawal jam 5.00 pagi.

Terdapat pelbagai barangan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran segar, bunga-bungaan dan hasil tanaman kampung dijual. Selain itu, terdapat gerai makan yang boleh dikunjungi orang ramai pada bila-bila masa.

Tamu berkenaan juga menyediakan tempat bagi Tamu Mingguan Satu Kampung Satu Produk (1K1P).

Rombongan Ahli-ahli Yang Berhormat MMN seterusnya melintasi Jeti Pekan Tutong sambil diberikan taklimat mengenai perancangan Jabatan Kemajuan Pelancongan di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 untuk menaik taraf jeti berkenaan.

Lokasi seterusnya, Ahli-ahli Yang Berhormat MMN mengunjungi Gerai Muafakat yang dibina berasaskan kemuafakatan Majlis Perundingan Kampung Kiudang / Mungkom bagi menggalakkan masyarakat kampung untuk berniaga.

Dengan terbinanya bangunan Gerai Muafakat berkenaan, ia memberi kemudahan kepada masyarakat kampung untuk menjual produk-produk mereka seperti makanan, kraf tangan, hasil kebun dan lain-lain. Rombongan juga berkesempatan untuk menyaksikan keunikan budaya Puak Dusun.

Lawatan diteruskan lagi ke Wasai Bedanu, iaitu merupakan tempat ‘hiking’ dan lokasi bagi peminat alam semula jadi untuk meneroka pelbagai spesies, termasuk kukang (slow loris) dan pelbagai burung eksotik seperti ‘Blue-eared Barbet’, ‘Bornean Brown Barbet’ dan ‘Red-eyed Bulbul’.

Lawatan berikutnya pula ialah ke Eco Ponies Garden, dengan Ahli-ahli Yang Berhormat MMN berkesempatan mengadakan aktiviti riadah dan melawat fasiliti yang terdapat di lokasi berkenaan.

Dari Eco Ponies Garden, lawatan diteruskan ke 7 Rumpun Keluarga Nayan (7RKN) yang menawarkan demonstrasi pembuatan parang serta mempamerkan warisan budaya Puak kedayan di Daerah Tutong.

Lokasi pelancongan seterusnya ialah ke Bintudoh Greenspring Resort yang merupakan satu destinasi perkhemahan yang menawarkan aktiviti ekopelancongan seperti memancing, berkayak, dan ‘zipline’.

Semasa musim buah-buahan, ‘resort’ seluas 15 ekar berkenaan banyak menghasilkan durian, nenas, rambutan, kembayau dan banyak lagi buah-buahan tempatan yang dapat dinikmati oleh para pengunjung.

Lawatan berakhir Ahli-ahli Yang Berhormat MMN ialah di Angkasa Oud Agarwood Company, iaitu sebuah perniagaan tempatan yang mengkhususkan pengeluaran dan pembuatan produk gaharu berkualiti tinggi.

Gaharu merupakan kayu resin bernilai tinggi dan dikenali dengan aroma unik yang menggabungkan aroma kayu dengan keharuman yang lembut. Sejak syarikat berkenaan ditubuhkan, ia telah menghasilkan pati minyak gaharu dan sebanyak 20 jenis haruman.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI