17.03.26 Pendekatan Whole of Nation pastikan aspirasi pembangunan direalisasikan

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 Mac. – Dalam menghadapi cabaran masa hadapan, Kerajaan menyedari bahawa usaha membangunkan ekonomi negara memerlukan pendekatan Whole of Nation, yang melibatkan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta serta rakyat secara keseluruhannya.

Oleh itu, kerajaan akan terus mengalu-alukan pandangan dan kerjasama daripada semua pihak bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah menjelaskan demikian semasa menyampaikan Rumusan Perbahasan Peringkat Dasar pada hari keenam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Dalam masa yang sama jelas Yang Berhormat, kerajaan akan terus memfokuskan usaha ke arah mencapai aspirasi Wawasan Brunei 2035, melalui pelaksanaan strategi-strategi yang telah digariskan dalam Economic Blueprint, Social Blueprint dan Manpower Blueprint.

Menurut Yang Berhormat lagi, kejayaan pelan-pelan ini bukan sahaja bergantung kepada perancangan dasar, tetapi juga kepada keberkesanan pelaksanaan serta pemantauan yang berterusan bagi memastikan setiap inisiatif mencapai hasil yang dihasratkan.

Dalam hal ini tambahnya, Kementerian Kewangan dan Ekonomi jua akan terus berusaha untuk memperluaskan lagi pendekatan konsultatif dalam penyediaan perbelanjaan negara bukan sahaja dengan melibatkan sektor swasta malah jua di peringkat akar umbi.

Yang Berhormat berkata, pendekatan yang lebih inklusif ini adalah amat penting bagi memastikan pencapaian aspirasi pembangunan jangka panjang negara dan matlamat Wawasan Brunei 2035 dapat direalisasikan.

“Kerajaan komited untuk meneliti setiap pandangan tersebut dan akan terus berusaha memastikan Belanjawan Negara ini dapat dilaksanakan dengan berkesan demi memperkukuh daya tahan ekonomi negara serta merealisasikan aspirasi bersama ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035,” ujar Yang Berhormat.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI