BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 17 Mac. – Projek waste-to-energy pada masa ini sedang dalam peringkat penyediaan request for proposal melalui konsultan yang telah dilantik.
Request for proposal ini dijadualkan akan dibuka pada 17 Julai 2025 dengan tarikh akhir penyerahan cadangan pada 23 Oktober 2025 nanti dan jika pelabur berjaya dikenal pasti, maka projek ini akan dianugerahkan pada 10 Julai 2026.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof mengenai waste-to-energy system.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda menjelaskan tarikh-tarikh tersebut adalah timeline yang disediakan dan kontrak dijangka dimeterai pada 2 Oktober 2026 manakala pembinaan loji dijangka bermula selepas itu dengan sasaran untuk beroperasi sepenuhnya pada tahun 2029.
Ketika menjawab isu sama yang dibangkitkan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin pula, Yang Berhormat Menteri Pembangunan menjelaskan projek tersebut dianggarkan berkapasiti 25 megawatt sehari.
”Angka ini masih dalam kajian lanjut untuk menentukan sumbangannya terhadap keperluan tenaga Negara Brunei Darussalam dalam peratusan. Selain menjana tenaga elektrik, loji ini juga akan menghasilkan bahan sampingan seperti abu yang boleh digunakan dalam industri pembinaan dan hortikultur selari dengan usaha pengurangan sisa buangan secara lestari,” jelas Yang Berhormat Menteri Pembangunan lagi.
Yang Berhormat seterusnya berkata memang ada usaha untuk mengenal pasti sama ada abu itu nanti dapat digunakan dan adakah ia selamat digunakan untuk dijadikan bahan campuran dalam membuat batu bata bagi bahan pembinaan.
Selain daripada itu, ujar Yang Berhormat lagi, sementara menunggu pengoperasian projek waste-to-energy ini, beberapa langkah telah diambil iaitu penyediaan peraturan mengenai pengurusan sisa pepejal, memperluaskan kaedah pengutipan sampah dari rumah ke rumah melalui kontrak secara concession bermula dengan kawasan Perumahan Negara dan menyediakan garis panduan berkaitan pengurusan pengutipan sampah/sisa pepejal bagi keperluan waste-to-energy incinerator serta melaksanakan beberapa inisiatif ke arah pengurangan jumlah sampah yang dihasilkan.
Antara yang terkandung di dalam penyediaan request for proposal ini, Yang Berhormat menjelaskan adalah penelitian bagi melengkapkan infrastruktur yang diperlukan seperti air, saliran terutama dalam penyediaan rangkaian sistem elektrik untuk memastikan tenaga daripada waste-to-energy ini dapat disalurkan kepada gred tenaga yang sedia ada dengan Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




