17.03.25 Pelbagai usaha dilaksanakan mengatasi air kekuningan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 17 Mac. – Masalah air kekuningan yang berlarutan dari tahun ke tahun yang memberi kesan terhadap kualiti kehidupan rakyat di negara ini telah dibahaskan pada hari ke-13 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21, MMN yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini

Mengenai perkara tersebut, Menteri Pembanguna,n Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid menjelaskan beberapa usaha telah dibuat untuk memperbaiki dan mengatasi air kekuningan itu.

Maklum balas daripada beberapa kawasan, ujar Yang Berhormat, telah menampakkan ada perubahan sejak dua tahun kebelakangan hasil daripada usaha-usaha yang telah dibuat itu.

”Jadi memang jua satu line terbuka telah dibukakan dengan Pengarah Jabatan Air dengan Setiausaha Tetap. Mana-mana kawasan yang menghadapi masalah air kekuningan untuk terus menghubungi Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan semasa ia berlaku dan supaya dapat dihantar jurutera untuk terus melihat dan memeriksa di mana puncanya air kekuningan atu berpunca,” jelas Yang Berhormat Menteri Pembangunan.

Menyentuh mengenai keadaan air di Daerah Temburong pula, Yang Berhormat Menteri Pembangunan menjelaskan sememangnya perkara itu satu keutamaan yang diberikan dan sebelum ini beberapa lawatan telah dibuat untuk melihat sistem tangki-tangki yang ada di sana dan jua kemajuan seterusnya daripada segi piping dan kerja-kerja pemeliharaan yang akan diperlukan.

Jelas Yang Berhormat lagi, kajian kualiti air Sungai Temburong juga dilakukan bagi meneliti perubahan-perubahan kualiti sumber air di Temburong dan juga untuk mengatasi jika ada sebarang pencemaran yang berlaku.

Yang Berhormat seterusnya berkata pemasangan sistem kualiti air bagi pemantauan yang dibuat secara online sememangnya ada dalam perancangan untuk dilaksanakan, termasuk di dalam peruntukan yang telah disediakan dalam RKN-12 dan di antara projek menaik taraf di Temburong ialah meningkatkan kapasiti pengeluaran air bersih di Loji Rawatan Air Batang Duri daripada 5 megaliter sehari kepada 20 megaliter sehari.

Mengenai kawasan-kawasan Global Positioning System (GPS) seperti yang disarankan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau pula, Yang Berhormat Menteri Pembangunan menjelaskan bahawa aplikasi GPS dalam telefon bimbit adalah sistem yang disediakan secara global dan bukan disediakan oleh Jabatan Ukur.

”Bagi menggunakan aplikasi GPS di sesuatu kawasan ia memerlukan signal telekomunikasi. Antara sebab-sebab GPS tidak dapat digunakan adalah tidak ada signal telekomunikasi, signal telekomunikasi yang rendah gangguan signal-signal jammed termasuk untuk kawasan terkawal,” terang Yang Berhormat.

Dalam hal ini, jelas Yang Berhormat lagi, dengan adanya signal yang keluar ke kawasan luar pantai terutamanya daripada service provider bagi Negara Brunei Darussalam yang juga menyediakan service provider signal-signal internet di seluruh negara, jika ia jua diluaskan keluar pantai dan dengan sendirinya sistem GPS data-data dan signal GPS akan dapat diperoleh.​

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI