BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 17 Mac. – Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21, Majlis Mesyuarat Negara (MMN) meneruskan sidang pada hari ke-13 yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, dengan mendengarkan perbahasan Peringkat Jawatankuasa di bawah tajuk Kementerian Pembangunan.
Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim menyentuh mengenai Belanjawan 2025/2026 bagi Kementerian Pembangunan yang mana menurut Yang Berhormat, perbelanjaan biasa misalnya bagi Jabatan Kerja Raya telah berkurangan sebanyak BND3.6 juta, begitu juga dalam bilangan tenaga kerja, Jabatan Kerja Raya juga dikurangkan 48 jawatan.
”Ke arah itu, kaola ingin memohon pencerahan Yang Berhormat mengenai langkah strategik kementerian untuk menseimbangkan keperluan tanggungjawab dan tugas ini dengan kapasiti sumber yang sedia ada terutamanya dalam mencapai sasaran objektif strategik QS3, Memupuk Pembangunan Inklusif tersebut,” ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat juga menyentuh sasaran Kementerian Pembangunan dalam memesatkan pembangunan perniagaan tempatan khususnya objektif strategi 8 bagi menggalakkan penyertaan aktif profesional tempatan, pakar teknikal serta pemilik dan pengurus tempatan.
Seterusnya Yang Berhormat mengalu-alukan saranan tersebut kerana Kementerian Pembangunan adalah salah satu agensi yang berperanan untuk meningkatkan penglibatan pihak swasta terutamanya dalam merangsang aktiviti sektor pembinaan dan memudah cara ekosistem perniagaan di negara ini.
”Ke arah itu, kaola ingin memohon pencerahan terhadap langkah ke hadapan kementerian untuk meningkatkan lagi penglibatan peniaga, pengusaha tempatan dan profesional teknikal secara amnya dan dalam industri pembinaan khususnya sebagai mempraktikkan dasar local businesss development supaya pertumbuhan ekonomi akan berterusan sustainable dan lebih inklusif,” ujar Yang Berhormat.
Peruntukan kemajuan pada Belanjawan 2025/2026 terutamanya di bawah JKR telah meningkat sebanyak kira-kira BND22.4 juta, begitu juga dengan peruntukan kemajuan, Jabatan Kemajuan Perumahan (JKP) juga meningkat sebanyak BND2.3 juta.
Namun, ujar Yang Berhormat, jika diamat-amati dalam perbelanjaan biasa, Akaun 2106 Penyelenggaraan dan Pembaikan Aset Jabatan Kerja Raya peruntukkannya telah dikurangkan sebanyak BND6.2 juta berbanding tahun lepas.
”Memandangkan banyak bangunan-bangunan yang rosak perlu pembaikan dan pemuliharaan, kaola memohon pencerahan kementerian dari tajuk manakah peruntukan pemuliharaan bangunan-bangunan yang telah usang ini dikenakan dan apakah strategi pihak pihak yang berkepentingan untuk menangani isu tersebut.”
Terdahulu, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman menyokong sepenuhnya inisiatif-inisiatif yang terkandung di dalam Pelan Strategik Kementerian Pembangunan 2024-2029 yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
Sebagaimana yang dimaklumi, ujar Yang Berhormat Pehin lagi, di samping melaksanakan projek-projek langsung di bawah kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya selaku Jabatan Teknikal, kementerian juga berperanan untuk melaksanakan projek-projek kementerian dan jabatan-jabatan lain di luar Kementerian Pembangunan.
”Ini tidak kira sama ada ia laksanakan secara in-house melalui lantikan konsultan mahupun kaedah design and build. Ia tidak akan lari daripada memerlukan penglibatan jabatan teknikal ini. Sama ada di peringkat preliminary, perlaksanaan kontrak mahupun pengawal seliaan untuk memastikan mutu kualiti projek adalah terjamin menurut piawaian antarabangsa,” ujar Yang Berhormat.
Oleh itu, Yang Berhormat berpendapat cabaran dihadapi oleh kementerian dan jabatan-jabatan teknikal ini mungkin daripada segi pensejajaran dan koordinasi dan client department yang mana ada kalanya adalah di luar kawalan jabatan-jabatan teknikal ini.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




