BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 17 Mac. – Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah pun memulakan usaha membangunkan aktiviti agropelancongan dan pelancongan luar bandar di negara ini.
Demikian dijelaskan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin pada hari ke-13 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21, MMN yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Memandangkan pelancongan bukan aktiviti utama peladang, Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan menjelaskan di antara langkah awal yang dibuat oleh kementerian berkenaan ialah memberikan kefahaman mengenai konsep agropelancongan dan latihan dalam merancang pakej pelancongan yang menarik dan mampan sesuai dengan permintaan pelancong dan juga harga yang berpatutan bagi pelancong berpuas hati dengan pengalaman yang ditawarkan tanpa menjejaskan pengeluaran hasil tanaman bagi ladang-ladang mereka.
”Dalam pada itu, sebenarnya platform agritourism ini bukan saja bertumpu kepada pemasaran dan penjualan hasil produk-produk pertanian sahaja. Kementerian juga menggalakkan pameran penjualan hasil kraftangan ertinya bukan saja seperti yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat tadi untuk hasil pertanian malah juga pihak kementerian juga menggalakkan untuk menunjukkan juga hasil kraftangan dan juga agrimakanan serta aktiviti-aktiviti perundingan kampung,” jelas Yang Berhormat Menteri.
Terdahulu Yang Berhormat Menteri sangat menghargai sokongan dan cadangan Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat, untuk memperkukuhkan sektor agropelancongan dan pelancongan luar bandar khususnya memaksimakan impak ketibaan pelancong kepada ekonomi domestik dan mengasaskan penglibatan usahawan tempatan sektor ini.
Berkenaan dengan menggalakkan pemasaran produk tempatan, Yang Berhormat Menteri menjelaskan antara langkah yang lain untuk pihak kementerian menggalakkan pengunaan produk-produk tempatan ialah menjadikan booth dan outlets di Kampong Ayer Cultural Tourism Gallery dan Terminal Cruise Ship Centre di Pelabuhan Muara serta bagi memberikan peluang pelancongan yang tiba melalui kapal persiaran membeli-belah produk tempatan.
Yang Berhormat seterusnya menambah penganjuran Ekspo Kayu Tempatan dan Local Product Expo juga diketengahkan untuk mempromosikan produk tempatan, di samping bekerjasama dengan Jabatan Daerah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri untuk memperkukuhkan lagi produk tempatan dengan ditawarkan lokasi-lokasi strategik dan menggalakkan majlis-majlis perundingan kampung untuk merebut peluang menjadi lebih keusahawanan tempat-tempat yang sering dikunjungi oleh pelancong-pelancong seperti Hutan Rekreasi Luagan Lalak dan yang lain.
Di samping itu, restoran tempatan juga telah ditubuhkan di Taman Rekreasi Bukit Patoi bagi membolehkan pelancong-pelancong merasai makanan-makanan tempatan di negara ini.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




