BERAKAS, Sabtu, 16 November. – Awang Muhd. Muhaimin bin Muhd. Zulkifli dan Dayang Nur Arissa Alisha binti Matrantis, masing-masing memenangi Kategori Anugerah Peserta Terbaik Lelaki dan Kategori Anugerah Peserta Terbaik Perempuan bagi Anugerah Ikon Muallaf Tahun 1446 Hijrah / 2024 Masihi pada Majlis Konvokesyen Ikon Muallaf yang berlangsung di Dewan Persidangan, Pusat Da’wah Islamiah (PDI).
Sementara itu, Dayang Nurul ‘Ain binti Mohd. Redzuan pula memenangi Kategori Keseluruhan Ikon Muallaf, manakala Al-Hijrah memenangi Kategori Kumpulan Terbaik.
Majlis Konvokesyen Ikon Muallaf berkenaan dianjurkan oleh Belia Muallaf As-Syahadah di bawah naungan Urus Setia Program Keugamaan Belia, PDI, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, yang juga selaku Ketua Kampung Bukit Sawat, Daerah Belait.
Yang Berhormat dalam ucapannya berkata pendidikan merupakan jambatan kepada kecemerlangan mualaf dalam melahirkan belia mualaf yang berjaya dan menjadi contoh kepada masyarakat dan agama.
Maka kata Yang Berhormat, persiapan ilmu dan pendidikan mestilah diutamakan dan dimantapkan dengan kurikulum dan disiplin ilmu bagi menjamin masa hadapan mereka yang lebih terarah serta dapat membuat anjakan paradigma dalam menempuh kehidupan yang lebih mencabar.
“Semakin tinggi tahap pendidikan seseorang itu maka peluang yang lebih besar untuk berjaya di dalam kehidupan serta dapat meningkatkan kefahaman dan penghayatan di dalam ajaran Islam.
“Apa yang saya fahami, para peserta ikon mualaf diberikan Kursus Kepimpinan dan Kursus Pembangunan Modal Insan yang boleh membina kesepaduan dan memperkukuh hubungan silaturahim di antara mereka serta meningkatkan keberkesanan komunikasi dalam berpasukan.
“Di samping itu juga, peserta dapat belajar dalam mengenal pasti teknik-teknik dalam mengurus emosi diri sendiri serta emosi orang lain agar dapat menyelesaikan konflik dengan lebih efektif, dan meningkatkan kesejahteraan peribadi dan profesional,” ujar Yang Berhormat lagi.
Yang Berhormat seterusnya menambah, beberapa Projek Khidmat Masyarakat secara berkumpulan dijalankan oleh peserta dalam memupuk perasaan bertimbang rasa dan keprihatinan terhadap komuniti di persekitaran seperti memberikan sumbangan barang-barang asasi kepada golongan mualaf yang susah, serta membersihkan balai ibadah dan masjid secara bergotong-royong dengan masyarakat setempat.
Ini secara tidak langsung jelas Yang Berhormat, melahirkan warganegara yang patriotik, prihatin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat dan negara dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat dan amalan sentiasa ringan tulang membantu orang lain yang memerlukan bantuan.
“Saya berharap semangat sukarelawan terus hidup dalam jiwa masyarakat belia mualaf agar sama-sama membawa manfaat kepada ugama, bangsa dan negara,” ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat menzahirkan harapan agar program berkenaan bakal melahirkan mualaf yang cemerlang dalam semua aspek modal insan berlandaskan kepada falsafah Melayu Islam Beraja dan seterusnya menjadi duta dan pemangkin dalam menarik lebih ramai mualaf untuk terlibat aktif dalam hal ehwal kemasyarakatan.
Program Ikon Muallaf berkenaan telah dilaksanakan selama lima bulan bermula Julai hingga November 2024 pada tahun ini dengan melibatkan seramai 31 peserta.
Majlis Konvokesyen Ikon Muallaf diadakan sebagai pengiktirafan dan penghormatan
atas usaha dan pencapaian para peserta ikon mualaf dalam mengikuti aktiviti, kursus dan pengendalian projek kemasyarakatan.
Di samping itu, ia bertujuan untuk meraikan para peserta ikon mualaf, mengeratkan hubungan silaturahim antara para peserta serta ahli-ahli keluarga mereka dengan Ahli Jawatankuasa Belia Muallaf As-Syahadah.
Majlis juga diadakan bagi menghargai tenaga pengajar, penceramah, pemudah cara dan penaja yang terlibat sama dalam menjayakan ikon mualaf berkenaan.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




