JAKARTA, REPUBLIK INDONESIA, Jumaat, 15 Ogos. – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, pagi tadi telah menghadiri Sidang Bersama (Joint Annual Session) di antara Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR RI) dan Dewan Perwakilan Daerah Republik Indonesia (DPD RI) yang diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Republik Indonesia Ke-80 dan Pembukaan bagi Sesi Pertama bagi Sesi Tahun 2025 hingga 2026.
Sidang Bersama diadakan di Gedung Nusantara, Kompleks Parlimen, Jakarta, Republik Indonesia.
Kehadiran Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN ke Sidang Bersama berkenaan adalah atas undangan daripada Ketua Dewan Perwakilan Rakyat, Republik Indonesia, Yang Berhormat Dr. (H.C.) Maharani.
Turut hadir bersama ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Brigadier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abdul Kadir.
Antara agenda utama Sidang Bersama berkenaan adalah Ucapan Negara oleh Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Prabowo Subianto, bagi memperingati Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Republik Indonesia Ke-80.
Sidang Bersama juga dihadiri oleh Speaker Parlimen daripada beberapa negara sahabat, iaitu daripada Malaysia, Republik Singapura dan Republik Demokratik Timor-Leste.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




